Negara-negara Asia perlu mencari penyelesaian tenaga yang komprehensif bagi menangani isu tenaga global yang mendesak, dengan mengambil kira perubahan besar yang akan berlaku dalam industri minyak dan gas.

Semasa membuat gesaan berkenaan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penyelesaian ini boleh membawa pembangunan dan keuntungan di samping memberikan pertumbuhan jangka panjang yang mampan.

"Kita mesti mencari jalan untuk membawa ekonomi, sosial dan alam sekitar dalam pertimbangan bersama dan menanganinya sebagai satu: penyelesaian tenaga yang komprehensif," kata beliau dalam ucaptama pada Persidangan Minyak dan Gas Asia 2013 di sini hari ini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata peranan Petronas dalam membangunkan rizab semula jadi negara dan sumber manusia telah menghasilkan potensi ekonomi Malaysia dapat dipenuhi.

"Dan bersama-sama dengan Petronas, dan seluruh industri tenaga kita, kita perlu mencari jalan ke arah pembangunan mampan, terjamin dan saksama, supaya adanya penyelesaian tenaga menyeluruh yang saya perkatakan terdahulu," kata beliau.

Najib berkata ini juga bermakna pemahaman perubahan yang membentuk keputusan Dasar dan perniagaan serta bagaimana industri tenaga dan kerajaan perlu menanganinya.

Perubahan yang paling radikal, sudah tentu, kebimbangan terhadap usaha mendapatkan rizab berharga yang sebelum ini tidak ekonomi, kata beliau.

Beliau berkata minyak dan gas bukan konvensional telah mengganggu pasaran tenaga dan dasar tenaga, kos peralihan, anggapan berkaitan karbon dan bekalan.

"Mereka telah benar-benar membentuk semula pandangan masa depan Amerika, membawakan era baru kebebasan tenaga dan kajian semula asas geopolitik," kata Perdana Menteri.

Najib berkata perubahan pertumbuhan kedua ialah tenaga bersih, yang jelas semakin menurun.

Najib berkata inovasi dan kos pengeluaran yang berkurangan bersama-sama dengan tanda-tanda bahawa ekonomi utama telah bersedia menimbang sekatan karbon, memberikan isyarat seterusnya kepada pelabur.

Beliau berkata peralihan ini bukan sahaja mengenai tenaga boleh diperbaharu, tetapi juga sumber lama dengan grid yang menjurus kepada bekalan terputus-putus, mempunyai implikasi yang mendalam kepada pasaran tenaga global.

Secara keseluruhan, beliau berkata peringkat kini ialah untuk hubungan baru antara tenaga dan ekonomi.
Pada beberapa peringkat dalam dua dekad akan datang, kemungkinan pengguna tenaga terbesar dunia akan menjadi pengeksport dan teknologi tenaga bersih akan mengubah kuasa pasaran tertentu.

"Persoalannya, ialah apakah makna peralihan ini bagi negara-negara seperti Malaysia; dan bagaimana kerajaan dan industri tenaga boleh bekerja bersama-sama untuk memastikan bahawa hasil dalam pembangunan, kestabilan dan pertumbuhan yang lebih besar," katanya.

Dengan mengambil kira perubahan-perubahan ini, beliau berkata negara-negara Asia boleh meneroka dua bidang peluang yang memastikan kestabilan dan membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan.

"Kita semua berkongsi kepentingan dalam ekonomi yang terjamin dan produktif dan industri yang ekstraktif. Peluang pertama, adalah untuk membentuk perkongsian untuk ekonomi yang stabil dan pertumbuhan industri tenaga," kata beliau.

Mengenai ekonomi berasaskan pengetahuan, Perdana Menteri berkata mewujudkan ekosistem yang menggalakkan pembangunan modal insan dan teknologi adalah kritikal untuk membuka bekalan tenaga baharu.

Najib berkata sektor minyak dan gas, yang menyumbang lebih daripada 40 peratus pendapatan negara Malaysia, setakat ini melakukan kerja yang sangat baik dengan kerajaan untuk mewujudkan budaya kecemerlangan, melabur dalam kemahiran dan menggalakkan inovasi.

Kini, industri secara keseluruhan pula perlu memainkan peranan yang lebih besar dalam membangunkan modal insan menerusi perkongsian dan kerjasama dengan kerajaan, sebagai contoh menubuhkan institusi bagi teknologi khusus seperti bahan kimia khusus dan bekerjasama dengan institusi pengajian untuk membangunkan bakat, kata Perdana Menteri.

Najib berkata Petronas, yang dijangka menjana RM131.4 bilion dalam Pendapatan Negara Kasar dan lebih 50,000 pekerjaan berkemahiran tinggi baharu, akan menjadi peserta utama dalam inisiatif ini untuk menjadikan Malaysia sebuah hab tenaga untuk rantau ini.

Persidangan dua hari itu dihadiri oleh 1,200 peserta yang terdiri daripada penggubal dasar dan eksekutif syarikat-syarikat minyak utama di rantau ini.