DUNGUN: Polis sedang menyiasat satu kes perbuatan khianat di tempat ibadat selepas menerima aduan mengenai penemuan najis di atas sejadah imam dan kesan air kencing di dinding surau di Bandar Al-Muktafi Billah Shah di sini.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Baharudin Abdullah berkata pengadu turut mendakwa paip air di surau berkenaan juga sengaja dibiarkan terbuka, manakala beberapa al-Quran ditemui dibuang berselerakan di kawasan kebun yang berhampiran.

Beliau berkata pengadu memberitahu bahawa selepas surau ditutup apabila selesai solat Isyak semalam, pengadu merupakan orang pertama hadir ke surau pada pukul 5.30 pagi tadi untuk melaungkan azan Subuh, dan dia mendapati surau tidak berkunci.

"Suspek dipercayai masuk ke dalam surau melalui pintu utama dan telah melakukan perbuatan-perbuatan khianat itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Baharuddin berkata kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencemarkan tempat ibadat dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat, manakala suspek masih dikesan.

-- BERNAMA