KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan tindakan sebahagian besar Ahli Parlimen pembangkang yang keluar Dewan Rakyat ketika sesi perbahasan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji, hari ini.
Menurut Perdana Menteri, tindakan tersebut menimbulkan persoalan sama ada pembangkang benar-benar mahu membahaskan isu berkaitan Tabung Haji atau sekadar menjadikan sidang Dewan Rakyat sebagai pentas politik.
“Nak bahas tentang saya, atau nak bahas tentang Tabung Haji? Nak ambil tahu tentang saya atau nak ambil tahu tentang pengkhianatan terhadap Tabung Haji?” katanya.
Beliau berkata demikian dalam hantaran di media sosialnya, selepas sebahagian besar blok pembangkang bertindak keluar dewan semasa perbahasan laporan RCI Tabung Haji.
Anwar turut mendakwa, isu yang dibangkitkan dalam laporan berkenaan melibatkan kepentingan jutaan pendeposit yang terdiri daripada umat Islam di negara ini.
Menurut beliau, mereka termasuk golongan berpendapatan rendah yang menyimpan wang di Tabung Haji bagi menunaikan ibadah haji.
“Orang Melayu Islam telah dikhianati, tapi masih ada yang mahu main drama politik.
“Apatah lagi datang daripada pihak yang melaung-laungkan tentang Melayu Islam,” katanya.
Dalam masa sama, Perdana Menteri mempersoalkan pendirian Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Pas berhubung isu tersebut.
“Apakah PN yang ditunjangi Pas tidak pentingkan kepentingan orang susah, nelayan, petani, guru, polis, tentera dan pesara yang mengerah keringat untuk menyimpan wang dalam Tabung Haji bagi menunaikan Rukun Islam kelima?” soal Anwar.