Tidak banyak segmen kenderaan yang belum diterokai Mercedes-Benz, satu perkara yang agak memeranjatkan kerana jenama ini turut mengeluarkan beberapa kenderaan komersil. Dan antara yang belum pernah dilihat adalah sebuah pikap. Nampaknya itu akan berubah tidak lama lagi.

Mercedes-Benz dan Nissan, yang memulakan kerjasama strategik pada April 2010, akan mengembangkan persafahaman ini dengan menghasilkan sebuah trak satu tan khusus untuk syarikat Jerman itu. Trak pikap ini akan menjadi model pertama mereka di dalam segmen ‘lasak’ sepertinya, dan agak berbeza dengan, sebagai contoh, G-Wagon yang tidak mempunyai versatiliti angkutan kargo sepertimana sebuah pikap.

Kenderaan asas bagi model baharu ini adalah NP300, ataupun kami di Malaysia kenali sebagai Nissan Navara. Namun, Mercedes turut berkata bahawa mereka akan mengetengahkan kejuruteraan dan rekaan tersendiri bagi memenuhi kehendak pelanggan.

Pikap ini akan mempunyai konfigurasi ‘double-cab’ serta tertumpu untuk pengguna persendirian dan sektor komersil. Pasaran utama adalah Eropah, Australia, Afrika Selatan dan Amerika Latin.

Mengikut perancangan, trak satu tan Mercedes ini akan dipasang oleh Nissan di kilang Argentina-nya, bersama-sama Navara dan model pikap Renault yang juga sedang dalam pembangunan. Sebagai ahli keluarga di dalam syarikat Renault-Nissan, sudah pasti Navara menjadi pilihan untuk asas kepada model trak pikap 1 tan pertama oleh Renault.

Di Malaysia, Nissan Navara dilengkapkan dengan enjin turbodiesel berkapasiti 2,488cc yang dipadankan dengan sistem pacuan 4WD ataupun 2WD.