Skip to main content
Advertisement

Malaysia

NEEAP 2.0: Penjimatan tenaga bermula dengan amalan, teknologi cekap

[TB]_Awani Pagi PETRA_ASTRO AWANI
NEEAP 2.0 menyasarkan pengurangan permintaan tenaga negara sebanyak 11.6 peratus menjelang 2035, meliputi sektor perindustrian, komersial dan domestik. -Foto Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Penjimatan dan kecekapan tenaga merupakan dua konsep berbeza, namun kedua-duanya mempunyai matlamat sama iaitu mengurangkan penggunaan tenaga dan mengelakkan pembaziran.

Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Mareena Mahpudz berkata penjimatan tenaga lebih menjurus kepada perubahan amalan harian, manakala kecekapan tenaga melibatkan penggunaan teknologi yang mampu melakukan tugas sama dengan penggunaan tenaga lebih rendah.

Menurutnya, kesedaran terhadap kedua-dua aspek itu penting bagi memastikan usaha menjimatkan tenaga bukan sekadar menjadi amalan harian, malah  disokong melalui pemilihan teknologi yang lebih cekap.

“Secara ringkasnya, NEEAP 2.0 ini tujuannya mudah sahaja, iaitu menjimatkan penggunaan tenaga.

“Kedua-dua konsep ini mempunyai tujuan sama, iaitu mengurangkan dan seterusnya menjimatkan penggunaan tenaga.

"Cuma bezanya, penjimatan tenaga adalah melalui amalan harian kita seperti menutup suis apabila tidak digunakan atau mencabut palam daripada soket elektrik,” katanya dalam AWANI Pagi pada Isnin.

Menurut beliau, kecekapan tenaga pula lebih merujuk kepada penggunaan teknologi yang dapat membantu mengurangkan penggunaan elektrik tanpa menjejaskan fungsi atau keselesaan pengguna.

“Kalau kita beli barangan elektrik di kedai-kedai, kita pilih barangan yang berbintang empat atau lima. Kita memilih peralatan yang sememangnya kita tahu akan mengurangkan bil elektrik kita.

“Bukan sekadar menjadikan ia satu amalan seharian, tetapi kita memilih teknologi yang boleh menyumbang ke arah penjimatan tenaga tersebut,” katanya.

Kerajaan menerusi PETRA sebelum ini melancarkan Dasar dan Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara (NEEAP) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2035 sebagai rangka kerja strategik untuk mengurus dan mengurangkan permintaan tenaga negara.

NEEAP 2.0 menyasarkan pengurangan permintaan tenaga negara sebanyak 11.6 peratus menjelang 2035 meliputi sektor perindustrian, komersial dan domestik.

Pada masa ini, peralatan yang dilabel cekap tenaga merangkumi peti sejuk, lampu, penyaman udara, kipas domestik, televisyen, mesin basuh, ketuhar gelombang mikro, periuk nasi elektrik, pembeku dan ketuhar elektrik.

Di bawah NEEAP 2.0, pelabelan dan piawaian kecekapan tenaga akan diperluas kepada dua kategori baharu iaitu dapur gas petroleum cecair (LPG) dan penapis air elektrik.

Di peringkat negara, pelaksanaan NEEAP 2.0 dijangka membantu mengurangkan permintaan tenaga pada waktu puncak, sekali gus memperkukuh kestabilan grid dan keterjaminan bekalan tenaga.

Must Watch Video

Advertisement