Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Negara kehilangan tokoh perubatan dan kebajikan disegani - Hadi Awang

PEMERGIAN TUN DR. HASMAH: YANG DI-PERTUA NEGERI SARAWAK DAN YANG AMAT BERBAHAGIA TOH PUAN RAKAM TAKZIAH BUAT TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD SERTA KELUARGA kredit : fb Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Bin Tuanku Jaafar
Kembalinya seorang tokoh perubatan dan kesihatan yang banyak menabur bakti kepada rakyat sepanjang perkhidmatannya, khususnya dalam bidang kesihatan awam. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali sebagai satu kehilangan besar kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau melahirkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada usia 100 tahun pagi Isnin.

Menurut Abdul Hadi, Allahyarham merupakan tokoh perubatan dan kesihatan yang banyak menabur bakti kepada rakyat sepanjang perkhidmatannya, khususnya dalam bidang kesihatan awam.

“Sebagai seorang doktor yang pernah berkhidmat dalam bidang kesihatan awam, khususnya di Kedah, beliau telah memberikan sumbangan besar dalam memperkukuh perkhidmatan kesihatan serta kebajikan masyarakat, termasuk dalam bidang kesihatan wanita dan kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang hayatnya Allahyarham turut memainkan peranan penting dalam pelbagai aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan, selain menjadi pendamping setia kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Dalam perjalanan hidupnya, Allahyarham turut memainkan peranan dalam pelbagai usaha kebajikan dan kemasyarakatan di samping menjadi pendamping kepada suaminya sepanjang perjalanan panjang khidmat beliau kepada negara,” katanya.

Abdul Hadi turut merakamkan ucapan takziah kepada Tun Dr Mahathir serta seluruh ahli keluarga Allahyarham dan mendoakan agar mereka dikurniakan kesabaran serta ketabahan menghadapi kehilangan tersebut.

Beliau juga mendoakan agar Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham, menerima segala amal solehnya serta menempatkan rohnya dalam kalangan orang beriman dan solehah.

Tun Dr Siti Hasmah meninggal dunia di IJN pada jam 9.20 pagi tadi dan dikenang sebagai antara tokoh wanita paling dihormati di negara ini atas sumbangannya dalam bidang perubatan, kebajikan dan pembangunan masyarakat.

Must Watch Video

Advertisement