MALAYSIA
Nekad selam dalam air bercampur minyak demi selamatkan cucu saudara

Insiden yang berlaku pada petang Jumaat mengakibatkan lima mangsa terkorban, termasuk pasangan suami isteri Gan Hon Tat dan Careen Man, serta tekong bot Cheu Son Hin. - Foto Bernama
SHAH ALAM: “Saya tahu nyawa boleh melayang bila-bila masa, tapi saya nekad selam juga demi cucu saudara.”
Ringkasan AI
- Pengorbanan Gan Leong Seong: Leong Seong, 51, sanggup mempertaruhkan nyawa dengan menyelam dalam air bercampur minyak untuk mencari cucu saudaranya, Darren Gan, yang berusia tiga tahun.
- Tragedi mengorbankan lima nyawa: Insiden yang berlaku pada petang Jumaat mengakibatkan lima mangsa terkorban, termasuk pasangan suami isteri Gan Hon Tat dan Careen Man, serta tekong bot Cheu Son Hin.
- Penemuan mayat pasangan suami isteri: Mayat Gan Hon Tat dan Careen Man ditemukan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia pada pagi Ahad berhampiran Pusat Hidrografi Nasional.
Menurut Leong Seong, beliau melakukan dua kali selaman dalam suasana gelap dan berbahaya sebelum menemui tubuh cucu saudaranya di ruang hadapan kabin bot yang terbalik.
“Saya mula cari dari bawah bot selepas ia ditunda ke jeti Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor. Cubaan pertama gagal, tapi apabila abang saya terjun dan jumpa kaki salah seorang mangsa, saya terus terjun semula tanpa berfikir panjang.
“Bau minyak memang kuat, susah nak bernafas, tapi bila nampak Darren, saya beranikan diri untuk segera dapatkannya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Shah Alam pada Ahad.
Katanya lagi, beliau kemudian kembali menyelam bersama beberapa individu lain dan berjaya membawa naik tekong bot, Cheu Son Hin, 50, yang turut maut.
Bagaimanapun, jelasnya, ketika itu dua lagi mangsa iaitu anak saudaranya, Gan Hon Tat, 32, dan isteri mangsa, Careen Man, tidak ditemui.
Terdahulu, mayat pasangan suami isteri yang hilang dalam insiden terbabit ditemukan sekitar jam 7.45 pagi Ahad oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang sedang membuat rondaan berhampiran Pusat Hidrografi Nasional.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan tiga individu termasuk seorang kanak-kanak maut manakala dua individu lain iaitu pasangan suami isteri hilang setelah bot dinaiki mereka bersama beberapa individu lain terbalik di perairan Tanjung Harapan.
Mereka yang maut ialah Gan Hon Tat, 32; Careen Man, 29; Darren Gan, 3; Cheu Son Hin, 50; dan Fong Yong Sen, 29.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di Unit Forensik Hospital Shah Alam mendapati bahawa urusan proses bedah siasat ke atas mayat dua mangsa yang baru ditemui pada pagi Ahad telah selesai dijalankan.
Kedua-dua mayat mendiang telah dituntut oleh ahli keluarga untuk urusan pengebumian. -- Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami