Skip to main content

Malaysia

NEKMAT rancang bawa 12 tan ikan Sabah ke Semenanjung melalui laut

SERDANG, 30 Ogos - Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) Azrin Shah Ismail bercakap ketika sesi temu bual bersama BERNAMA sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Laman Padi, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Azrin Shah berkata antara spesies dipertimbangkan untuk dibawa melalui laut ialah ikan selayang dan kembung yang mempunyai permintaan meluas dalam kalangan pengguna. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

SERDANG: Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) merancang membawa sekurang-kurangnya 12 tan ikan dari Sabah ke Semenanjung melalui pengangkutan laut dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang.

Pengurus Besar Azrin Shah Ismail berkata penghantaran pertama itu akan dilaksanakan selepas pembekal mengumpulkan bekalan mencukupi dan memuktamadkan harga.

“Sekarang pembekal sedang mengumpulkan ikan. Apabila mencukupi 12 tan metrik, mereka akan mengemukakan harga dan insya-Allah dalam tempoh sebulan atau dua bulan kita akan membawa penghantaran pertama,” katanya kepada Bernama pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan  Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di sini, hari ini.

Beliau berkata antara spesies dipertimbangkan untuk dibawa melalui laut ialah ikan selayang dan kembung yang mempunyai permintaan meluas dalam kalangan pengguna.

Azrin Shah berkata NEKMAT sebelum ini melaksanakan lima penghantaran percubaan melalui pengangkutan udara pada April dan awal Mei lepas, melibatkan keseluruhan 1.2 tan ikan bernilai kira-kira RM25,000.

Bagaimanapun, katanya, kos logistik menyeluruh dari tempat pendaratan di Sabah sehingga ke pusat logistik NEKMAT di Taman Wahyu mencecah (kos) kira-kira RM8 sekilogram dan jumlah itu bersamaan hampir 40 peratus daripada harga belian ikan serta masih dianggap tinggi.

“Kita masih mengkaji potensinya. Projek ini belum boleh dikatakan berjaya menurunkan harga ikan kerana data belum membuktikannya, tetapi dari segi daya maju ekonomi, peluang itu ada,” katanya.

Azrin Shah berkata penghantaran ikan dari Sabah perlu dilaksanakan secara berkala berdasarkan ketersediaan bekalan memandangkan jumlah tangkapan turut dipengaruhi oleh musim tengkujuh dan permintaan tempatan.

Kaedah penghantaran melalui laut dijangka lebih sesuai untuk ikan kegunaan harian, manakala penghantaran udara boleh ditumpukan kepada spesies ikan yang bernilai tinggi.

Pada bulan lepas, media melaporkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mahu satu usaha sama diwujudkan antara NEKMAT dengan Persatuan Nelayan Negeri Sabah (PENGASAH) bagi mengeksport sumber ikan dari negeri di bawah bayu itu ke Semenanjung.

Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil dilapor berkata Sabah kaya dengan sumber ikan dan wajar dikongsi dengan Semenanjung.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement