KUALA TERENGGANU: Tindakan seorang nelayan membawa sebilah senjata tajam mengundang padah selepas diberkas dalam Operasi Samseng Jalanan berhampiran Jambatan Angkat di sini, pada Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Ismail Man berkata, suspek yang berusia 32 tahun dan menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 itu ditahan sekitar pukul 7.15 malam.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut menemui sebilah senjata tajam dan berbahaya berukuran 26cm dengan tiga mata pisau di bawah tempat duduk kenderaan itu.

"Susulan  itu suspek yang beralamat di Kuala Besut  itu dibawa ke Pejabat Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958," kata Ismail ketika ketika dihubungi pada Khamis.

Dalam pasa itu, Ismail berkata pihaknya turut menahan dua lagi pemuda yang berusia 23 dan 24 tahun dalam operasi sama selepas didapati mempamerkan nombor pendaftaran palsu.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki berkenaan ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 108(3)(F) Akta Pengangkutan Jalan kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu pada kenderaan.

Sementara itu, Ismail berkata, sebanyak 66 saman telah dikeluarkan sepanjang operasi berkenaan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh dan melanggar lampu isyarat.

"Dalam operasi berkenaan kita juga turut menyita sebanyak 10 buah motosikal," katanya lagi.