MALAYSIA
New Zealand minat jadikan Malaysia rakan strategik halal dan perdagangan serantau - Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) mengadakan pertemuan dua hala bersama Menteri Pertanian, Perdagangan dan Pelaburan New Zealand Todd McClay di bangunan Parlimen New Zealand hari ini. - Foto BERNAMA
WELLINGTON: New Zealand menyatakan minat untuk menjalin kerjasama lebih erat dengan Malaysia berkaitan industri halal dan memilih negara ini sebagai rakan strategik utama termasuk dalam sektor perdagangan di rantau Asia Tenggara.
Ringkasan AI
- Menteri Pertanian, Perhutanan, Perdagangan dan Pelaburan New Zealand, Todd McClay, menyatakan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai rakan strategik utama dalam industri halal serta pintu masuk ke pasaran ASEAN.
- Beliau turut menyatakan kesediaan New Zealand menerima eksport buah-buahan tropika dari Malaysia dan mengalu-alukan pelaburan syarikat Malaysia dalam sektor pembinaan di negara itu.
- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan peruntukan NZ$100,000 kepada Rumah Malaysia di Wellington bagi persiapan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
Pertemuan itu berlangsung selepas lawatan Ahmad Zahid ke Pusat Pengurusan Krisis Kebangsaan (Beehive Bunker) iaitu pusat kawalan strategik kerajaan New Zealand dalam menghadapi situasi bencana dan kecemasan.
Dalam perbincangan yang menyentuh pelbagai aspek strategik, Ahmad Zahid berkata McClay turut menyatakan kesediaan New Zealand menerima eksport produk pertanian Malaysia, terutamanya buah-buahan tropika seperti nanas, selain mempelawa syarikat Malaysia melabur dalam sektor pembinaan di negara itu.
"Secara keseluruhan, pertemuan ini mencapai satu kesepakatan strategik ke arah memperluas hubungan perdagangan dua hala, termasuk penglibatan aktif New Zealand dalam platform seperti Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP)," katanya.
Ahmad Zahid turut menyatakan keyakinan hubungan Malaysia-New Zealand akan terus berkembang sebagai model kerjasama strategik rantau Indo-Pasifik yang membawa manfaat nyata kepada rakyat kedua-dua negara.
Sementara itu, Ahmad Zahid semasa menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama komuniti Malaysia Wellington di sini hari ini mengumumkan peruntukan NZ$100,000 (RM251,000) kepada Rumah Malaysia bagi persiapan untuk sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
Beliau berkata peruntukan berkenaan sebagai penghargaan kepada rakyat Malaysia berbilang kaum di New Zealand yang tetap teguh dengan semangat patriotisme meskipun jauh dari tanah air.
"Saya mahu Hari Kebangsaan tahun ini disambut secara besar-besaran di Rumah Malaysia tanpa menyusahkan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand. Terima kasih juga kepada bantuan syarikat Malaysia di sini yang menaja selama ini.
"Jadi saya akan menyumbang kerana saya merasakan rakyat Malaysia di luar negara tidak kiralah Cina, Melayu, India, Murut, Orang Asli, saya lihat dalam semua lawatan saya di banyak negara dan di sini sangat bersatu dan mereka sangat rindukan negara," katanya.
Beliau turut berharap rakyat Malaysia terus mencintai bahasa kebangsaan walaupun merantau jauh dari tanah air.
Majlis Ramah Mesra yang menghimpunkan lebih 250 rakyat Malaysia itu turut dihadiri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand Mazita Marzuki.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami