KUALA LUMPUR: NexG Bhd dan anak syarikatnya, Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB) menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI atas keputusan tidak mengambil alih DTSB.
Kenyataan itu dibuat sebagai respons terhadap siaran media yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Sabtu menyatakan pendirian kerajaan untuk tidak mengambil alih DTSB tetapi kekal komited memastikan semua pihak yang terlibat terus menyediakan perkhidmatan yang selamat dan dipercayai kepada rakyat.
NexG dan DTSB menyambut baik keputusan tersebut dan merakamkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI atas keyakinannya terhadap komitmen berterusan DTSB dalam membekalkan kad pengenalan berteknologi tinggi kepada Malaysia tanpa menjejaskan aspek keselamatan.
“DTSB terus komited untuk mengekalkan standard keselamatan, integriti dan kebolehpercayaan tertinggi seperti yang telah berjaya dilaksanakannya selama 27 tahun yang lepas,” menurut NextG dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, rekod prestasi yang kukuh, disokong oleh tenaga kerja tempatan yang berpengalaman dan mempunyai kepakaran dalaman, mencerminkan keupayaannya untuk terus menyediakan penyelesaian identiti yang penting kepada negara dengan selamat dan boleh dipercayai.
“NexG akan terus menjaga keselamatan dan kedaulatan kad pengenalan Malaysia tanpa kompromi, selain bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan yang berkaitan untuk terus meningkatkan ciri-ciri keselamatannya serta memastikan identiti rakyat Malaysia kekal selamat dan dilindungi,” katanya.
Dengan kesinambungan kontrak pengeluaran kad pengenalan mentah untuk Malaysia, NexG memaklumkan syarikat kini dapat meneruskan pelan pengembangan strategiknya dalam sektor domestik dan antarabangsa seperti yang dirancang sebelum ini.
“Langkah ini akan terus memperluas sayap dan operasi NexG sebagai syarikat berteknologi tinggi, selain menjadi pengeluar utama kad pengenalan berkeselamatan tinggi di Malaysia,” menurutnya.
Pada 20 Ogos lepas, NexG Bhd dilaporkan menilai anak syarikat milik penuhnya, DTSB, pada kira-kira RM7.5 bilion selepas menerima permintaan kerajaan untuk mengemukakan harga indikatif bagi kemungkinan pengambilalihan syarikat itu.
DTSB merupakan penyedia MyKad dan sejak 2012 menjadi vendor pasport Malaysia yang mematuhi piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
DTSB turut memegang mandat bagi MyKad struktur baharu, MyTentera dan MyPOCA dengan komitmen bekalan untuk beberapa tahun.
-- BERNAMA