Nga jemput Michelle Yeoh sertai pelancaran TMM 2026

Nga menjemput Yeoh untuk bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Januari depan pada majlis pencahayaan 'Walk of Fame' Bukit Bintang yang akan menandakan pelancaran kempen TMM 2026," menurut kenyataan itu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming telah menjemput pelakon wanita pertama Malaysia yang memenangi anugerah Oscar Tan Sri Michelle Yeoh, untuk menyertai pelancaran Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 pada Januari depan.
Menurut kenyataan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), jemputan itu disampaikan Nga semasa pertemuannya dengan Yeoh dan suaminya Jean Todt, yang juga Duta Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Keselamatan Jalan Raya, di sela-sela lawatan rasminya ke Turkiye bagi menghadiri Forum Sisa Sifar Global.
"Dalam pertemuan itu, Nga menjemput Yeoh untuk bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Januari depan pada majlis pencahayaan 'Walk of Fame' Bukit Bintang yang akan menandakan pelancaran kempen TMM 2026," menurut kenyataan itu.
Nga turut menekankan bahawa di bawah nilai-nilai Kerajaan MADANI yang menitikberatkan keterangkuman dan kepelbagaian, Malaysia kini menjadi antara destinasi pelancongan paling diminati di Asia tahun ini."Menjelang akhir tahun 2025, ketibaan pelancong dijangka melebihi 40 juta orang, meningkat sebanyak 18.4 peratus, sekali gus mengatasi jumlah penduduk Malaysia buat pertama kali," katanya.
Beliau menambah bahawa sektor pelancongan kini menyumbang 15.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, menjadikannya sumber pendapatan negara kedua terbesar.
Nga berkata bagi mencapai sasaran hasil sebanyak RM150 bilion sempena TMM 2026, setiap rakyat Malaysia perlu memainkan peranan sebagai duta pelancongan untuk membantu dunia mengenali keunikan "Malaysia Truly Asia".
Todt, bekas Presiden Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dan bekas Pengurus Pasukan Scuderia Ferrari dalam perlumbaan Formula 1, turut menghadiahkan Nga senaskhah buku terbaharunya bertajuk The Silent Pandemic dengan tandatangan beliau, manakala Nga menyerahkan sehelai tali leher dan skaf batik Malaysia kepada pasangan itu sebagai simbol warisan budaya negara.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa Nga mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan beberapa kenamaan termasuk Naib Presiden Iran Dr Shina Ansari, Menteri Alam Sekitar, Pembandaran dan Perubahan Iklim Turkiye Murat Kurum, serta Pengerusi Yayasan Sifar Sisa Global Samed Agirbas.
Pada forum berkenaan, Malaysia turut menerima Global Zero Waste Leadership Special Citation Award sebagai pengiktirafan terhadap pengaruh negara yang semakin meningkat dalam memacu agenda kemampanan dan inisiatif sisa sifar ke arah pembangunan bandar yang lebih bersih, hijau dan berdaya tahan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami