IPOH: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming mengarahkan Datuk Bandar Ipoh Zamakhshari Hanipah untuk menyelesaikan segera isu tanah berkaitan pembangunan kompleks parkir dan ruang komersial di Jalan Panglima, di sini.
Nga berkata isu tersebut perlu diselesaikan selewat-lewatnya minggu ini bagi membolehkan kerja pembinaan kompleks berkenaan yang dijalankan secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) dapat dilaksanakan.
Advertisement
"Sekarang ini masih menunggu Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk selesaikan isu tanah dan juga syarat-syarat dengan konsesi.
"Saya sudah arahkan kepada Datuk Bandar untuk selesaikan minggu ini juga. Saya mahu masalah kekurangan tempat letak kereta di Pekan Lama dapat diselesaikan kerana isu ini sudah berlarutan lebih 20 tahun," katanya.
Nga berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan watikah pelantikan kepada 160 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Baru Cina Negeri Perak, di sini, hari ini.
Pembangunan kompleks parkir lima tingkat di kawasan seluas 0.4 hektar itu merupakan inisiatif MBI dengan kerjasama sebuah syarikat swasta yang melabur sebanyak RM15 juta untuk membangunkannya dengan jangkaan siap dalam tempoh 15 bulan.
Berkenaan majlis hari ini, Nga berkata seramai 160 JPKK Kampung Baru Cina dari seluruh negeri Perak telah diberikan watikah pelantikan, seterusnya mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti di peringkat akar umbi.
"Pelantikan tersebut bukan sekadar satu pengiktirafan, malah merupakan amanah besar yang menuntut setiap Ketua Kampung untuk bertindak sebagai barisan hadapan dalam menyampaikan dasar kerajaan, menjaga kebajikan rakyat serta memelihara keharmonian komuniti," katanya.
Beliau berkata kementeriannya terus komited dalam memperkasa pembangunan Kampung Baru Cina di seluruh negara melalui empat hala tuju utama iaitu pembangunan, pengindahan, pelancongan serta pengukuhan produk tempatan menerusi inisiatif “Kampung Good”.
"Sehingga kini, sebanyak 2,750 projek pembangunan telah dilaksanakan di Kampung Baru Cina seluruh negara merangkumi penaiktarafan infrastruktur asas, pembinaan kemudahan awam seperti taman dan medan selera, pembaikan jalan kampung serta pemasangan lampu jalan," katanya.
-- BERNAMA