KEMAMAN:Orang ramai serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) khususnya dari zon merah yang ingin membantu mangsa terjejas banjir disarankan melakukan ujian saringan COVID-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, saranan itu bagi mengekang penularan wabak COVID-19 ketika musim banjir.

Beliau percaya selepas banjir, banyak pihak termasuk orang persendirian dan dan NGO akan turun ke kawasan terjejas bagi membantu mangsa banjir termasuk membersihkan rumah mereka.

“Sebaik-baiknya mereka dari zon merah kalau boleh, tidak payah atau tidak perlu datang kerana takut membawa jangkitan... melainkan buat swab test dan negatif sebelum datang.

“Saya nasihatkan NGO-NGO atau sesiapa dari zon merah yang hendak datang ke kawasan hijau elok membuat swab test dahulu kerana saya percaya mereka prihatin dengan nasib mangsa terjejas dengan banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian  selepas melakukan tinjauan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok, Kemaman pada Ahad.

Ismail turut berterima kasih kepada  mereka yang banyak membantu dalam menyelamatkan mangsa banjir dan memberikan pelbagai bantuan.

Bagaimanapun, beliau meminta agar NGO yang terlibat untuk menghubungi pusat pengurusan bencana banjir daerah supaya segala bantuan dapat diselaraskan.

Selain itu, ia bagi memudahkan usaha merekodkan maklumat terperinci mereka yang terlibat untuk penghantaran barangan dan mudah untuk dikesan sekiranya berlaku sebarang kejadian.

Dalam pada itu katanya, tiada sebarang  kes jangkitan COVID-19 direkodkan melibatkan mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS setakat ini.

Jelasnya, menerusi pemantauan yang dilakukan mangsa yang dipindahkan ke PPS patuh terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.