PUTRAJAYA: Pertubuhan Sewaan Kediaman Kebangsaan (NHRA) menggesa majikan yang menggajikan pekerja dalam jumlah besar, khususnya pekerja asing supaya bertanggungjawab menyediakan penginapan yang sesuai dan mematuhi standard ditetapkan tanpa memindahkan beban itu kepada kawasan kediaman biasa.
Presidennya Prakash P. Kalivanan berkata isu perubahan corak penghunian di Pangsapuri Putra Harmoni, Presint 9, Putrajaya, tidak wajar dilihat dari sudut kewarganegaraan penghuni semata-mata, sebaliknya perlu diteliti dari aspek kapasiti pembangunan, kepadatan penghuni serta kesannya terhadap komuniti setempat.
“Keperluan penginapan pekerja tidak seharusnya diselesaikan dengan menggunakan unit kediaman biasa secara berlebihan sehingga memberi tekanan kepada penduduk dan kemudahan bersama,” katanya dalam kenyataan susulan laporan media mengenai kebimbangan penduduk di pangsapuri berkenaan.
Beliau berkata pekerja asing bukanlah masalah dengan sendirinya kerana mereka mempunyai hak untuk mendapatkan tempat tinggal yang selamat, bersih, sesuai dan bermaruah.
Bagaimanapun, katanya tanggungjawab menyediakan penginapan pekerja tidak seharusnya dipindahkan secara tidak langsung kepada pasaran sewaan kediaman biasa dan komuniti setempat.
Prakash berkata Malaysia mempunyai kerangka perundangan berkaitan standard minimum perumahan, penginapan dan kemudahan pekerja melalui Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
“Penginapan pekerja perlu diurus secara terancang dengan mengambil kira aspek keselamatan, kebersihan, kapasiti, kemudahan dan kebajikan pekerja,” katanya.
Beliau berkata apabila sebuah unit yang asalnya dibangunkan untuk sebuah keluarga dihuni oleh jumlah penghuni yang jauh lebih ramai secara berterusan, tekanan bukan sahaja berlaku dalam unit berkenaan tetapi turut memberi kesan kepada lif, tempat letak kereta, sistem pembuangan sampah, bekalan air, keselamatan dan ruang awam.
Beliau berkata kebimbangan penduduk mengenai kebersihan, keselamatan dan penggunaan ruang bersama-sama perlu ditangani melalui penguatkuasaan serta pengurusan yang sistematik, bukannya sentimen terhadap mana-mana bangsa atau kewarganegaraan.
NHRA turut menggesa pihak berkuasa berkaitan menjalankan pemeriksaan terhadap premis yang digunakan untuk menempatkan pekerja secara berkumpulan, khususnya dari segi jumlah penghuni, kesesuaian premis, pematuhan standard penginapan pekerja, keselamatan dan kebersihan.
Prakash berkata kerajaan dan pihak industri juga perlu memperluas penyediaan penginapan pekerja berpusat yang terancang dan diperakui, terutama di kawasan yang mempunyai kepadatan tenaga kerja tinggi.
“Sekiranya sesuatu kawasan mempunyai industri atau aktiviti ekonomi yang memerlukan ratusan atau ribuan pekerja, keperluan penginapan pekerja perlu menjadi sebahagian daripada perancangan pembangunan dari peringkat awal.
“Ia tidak sepatutnya diselesaikan kemudian dengan menyerap pekerja ke dalam kawasan perumahan sedia ada tanpa mengambil kira kapasiti infrastruktur dan komuniti,” katanya sambil berkata perkembangan di Putrajaya perlu dilihat sebagai isyarat bahawa perubahan corak penghunian dan tekanan terhadap kawasan kediaman boleh berlaku walaupun di sebuah bandar yang dirancang.
Beliau berkata isu sama berpotensi menjadi lebih serius di bandar perindustrian dan kawasan berkepadatan tinggi sekiranya tidak ditangani secara terancang.
-- BERNAMA