Rakyat diminta menilai kerajaan secara keseluruhan bukan hanya bersandarkan satu dua perkara termasuk kenaikan harga barang.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata kerajaan selama ini berusaha membantu meringankan beban rakyat dengan pelbagai bantuan serta subsidi.

Langkah yang diambil oleh kerajaan termasuk pengurangan subsidi secara berperingkat yang didakwa punca kenaikan harga barangan pula akan diguna antaranya untuk pembangunan sektor kesihatan, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Bantuan Persekolahan 2014 anjuran Pemuda Umno Balik Pulau, di sini Rabu.

Mengulas mengenai perhimpunan haram di ibu negara malam semalam, Dr Hilmi berkata mereka yang tidak berpuas hati dengan kerajaan sedia ada sepatutnya menggunakan saluran yang betul untuk menukar kerajaan, iaitu menerusi pilihan raya bukan berhimpun menimbulkan kekacauan.