TANJONG KARANG: Nilai mata wang yang mengurang ketika ini hanya memberi kesan minimum terhadap perolehan dan pembelian ubat-ubatan dari luar negara.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ini kerana kementerian itu telah melakukan kaedah pelindungan nilai (hedging) bagi mengelakkan mereka melaksanakan perolehan ubat-ubatan dalam harga yang tinggi.

"Dalam apa-apa (bentuk) perolehan pun, kami sudah buat hedging. Hedging ini maknanya kami Kementerian Kesihatan atau KKM telah melakukan pembelian lebih awal.

"Dari segi kewangan, kami laksanakan kaedah itu bagi mengelak daripada terkena mata wang yang berubah.

"Jadi kami beli dan lock in awal. Oleh kerana itu walaupun sehari dua ini mata wang kita sedikit mengurang, tapi sebenarnya (pembelian ubat-ubatan dari luar negara) berbayar dengan harga yang telah kami lock in terdahulu," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Klinik Pergigian Tanjong Karang yang akan mula beroperasi pada 4 Mac depan.

Dalam pada, Dr Dzulkefly berkata kadar pertukaran mata wang rendah ketika ini juga turut mendatangkan kesan positif khususnya dari sektor pelancongan perubatan kerana lebih ramai pesakit dari luar negara akan mendapatkan rawatan kesihatan dalam negara.

Terdahulu, Dr Dzulkefly dalam ucapannya berkata Klinik Pergigian Tanjong Karang baharu dengan keluasan 1.21 hektar bersebelahan Hospital Tanjong Karang di Kilometer 8, Sungai Terap di sini itu, mula dibina pada 15 Jun 2020 dan siap pada 29 Dis 2023 dengan menelan belanja sekitar RM13 juta.

"Bangunan baharu ini menempatkan klinik pergigian primer, unit kepakaran ortodontik serta Pejabat Kesihatan Pergigian Daerah Kuala Selangor yang merupakan pusat tanggungjawab (PTJ) bagi menguruskan perkhidmatan serta pentadbiran pergigian daerah Kuala Selangor.

"Klinik ini dilengkapi dengan lapan kerusi pergigian iaitu lima kerusi pergigian primer dan tiga kerusi pergigian untuk unit ortodontik serta bilik x-ray intraoral dan makmal pergigian bagi penyediaan prostesis pergigian termasuk gigi palsu dan aplian," katanya.

Dr Dzulkefly berkata selepas sesi penyerahan klinik tersebut, KKM akan segera memulakan proses perpindahan peralatan sedia ada dari klinik lama (di Pekan Tanjong Karang) ke klinik baharu yang dilaksanakan secara berperingkat bermula Isnin depan (26 Feb).

"Bangunan klinik lama akan ditutup dan tidak digunakan sebaik sahaja pengoperasian klinik di bangunan baharu bermula.

"Dengan wujudnya bangunan baru ini, jangkaan peningkatan dan kehadiran kira-kira 50 pesakit secara pusat setiap hari akan berlaku kerana lokasi klinik yang strategik, selesa serta pertambahan bilangan kerusi pergigian yang memudahkan pesakit mendapatkan rawatan pergigian.

-- BERNAMA