KUALA LUMPUR: Penulis memoir dan bekas tokoh korporat, Datin Kalsom Taib, meluahkan kebimbangan terhadap kemerosotan nilai integriti dalam negara susulan pelbagai skandal yang pernah melibatkan institusi penting negara.
Beliau berkata generasi terdahulu telah berusaha membangunkan pelbagai institusi yang menjadi tonggak kemajuan negara, namun pelbagai kontroversi yang berlaku menyebabkan nilai yang pernah menjadi asas pembangunan negara semakin terhakis.
“Tetapi sekarang keadaan sudah berubah. Nilai-nilai itu telah hilang. Disebabkan skandal. FELDA yang dibina oleh ayah saya, Tabung Haji, MARA, semuanya.... Ia sangat menyedihkan,” katanya ketika sesi dialog sempena pelancaran memoir terbaharunya.
Kalsom berkata antara pengajaran terbesar yang dipelajarinya sepanjang kehidupan ialah pentingnya integriti serta keberanian mempertahankan kebenaran walaupun berdepan tekanan.
“Jangan rasuah. Jangan mencuri wang orang lain. Jangan takut untuk bercakap benar,” katanya.
Beliau turut merujuk kepada isu melibatkan Tabung Haji dan menyifatkan sikap berdiam diri dalam kalangan pihak berkepentingan sebagai antara faktor yang menyumbang kepada berlakunya masalah dalam sesebuah institusi.
“Lihat sahaja skandal yang berlaku dalam Tabung Haji. Kenapa? Ahli-ahli lembaga pengarah berdiam diri,” katanya.
Selain menyeru generasi muda menjauhi rasuah, beliau turut mengingatkan pentingnya budaya berkongsi ilmu, pengalaman dan rezeki bagi membentuk masyarakat yang lebih beretika dan bertanggungjawab.
Pada masa sama, Kalsom yang kini berusia 84 tahun berkata beliau akan terus berkarya dan merancang menerbitkan sebuah lagi buku tahun hadapan sebagai usaha meninggalkan legasi ilmu untuk generasi akan datang.
“Apabila kita meninggal dunia, ada tiga perkara yang ditinggalkan. Pertama, anak yang baik. Kedua, ilmu pengetahuan. Ketiga, amalan,” katanya.
Beliau berharap pengalaman hidup yang dikongsikan menerusi memoir dan penulisannya dapat menjadi pengajaran kepada generasi muda agar sentiasa berpegang kepada integriti serta berani mempertahankan perkara yang benar demi masa depan negara.