Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Noraini ketuai misi rasmi ke India, perkukuh hubungan pasaran minyak sawit

KUALA LUMPUR, 22 Ogos -- Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berucap pada Majlis Perasmian MerdekaPenter 2026 di The Green Factory, Ampang hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Noraini dijadual bertemu dengan wakil Kerajaan Karnataka di Bengaluru, serta syarikat-syarikat terkemuka India dalam sektor makanan, barangan pengguna dan teknologi pertanian. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad akan mengetuai misi rasmi ke India dari 27 September hingga 1 Oktober, 2026 bagi memperkukuh hubungan Malaysia dengan pasaran India.

Dalam satu kenyataan, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) memaklumkan misi itu turut bertujuan memperluas kerjasama komersial dan mempromosikan minyak sawit mampan serta produk berasaskan sawit yang mempunyai nilai tambah.

Ketua Pegawai Eksekutif MPOC Belvinder Kaur Sron berkata India kekal menjadi tunjang kepada strategi pembangunan pasaran jangka panjang industri minyak sawit Malaysia.

“Hubungan perdagangan kita dengan India telah lama terjalin dan hubungan komersial antara kedua-dua industri adalah kukuh. Eksport minyak sawit Malaysia ke India meningkat 40.4 peratus kepada 2.26 juta tan dalam tempoh lapan bulan pertama 2026, manakala bahagian Malaysia dalam import minyak sawit India meningkat 39.2 peratus.

“Ini mencerminkan keyakinan berterusan pembeli India terhadap kualiti, kebolehpercayaan dan kemampanan minyak sawit Malaysia. Misi ini akan memanfaat momentum itu dan mengenal pasti peluang-peluang baharu dalam bidang oleokimia, lemak khusus dan aplikasi berasaskan sawit yang bernilai lebih tinggi,” katanya.

Misi berkenaan yang merangkumi Bengaluru dan Mumbai, bakal disertai dengan pertemuan bersama wakil-wakil kerajaan, syarikat-syarikat terkemuka, persatuan industri dan penyedia teknologi.

MPOC memaklumkan Noraini dijadual bertemu dengan wakil Kerajaan Karnataka di Bengaluru, serta syarikat-syarikat terkemuka India dalam sektor makanan, barangan pengguna dan teknologi pertanian.

Majlis itu menambah, perbincangan akan tertumpu kepada peluang dalam pembekalan minyak sawit, aplikasi hiliran, penyumberan mampan, pembangunan kelapa sawit, pertanian digital dan memperkukuh jalinan antara pembekal Malaysia dan pengilang India.

“Di Mumbai, Noraini akan menyampaikan ucaptama di Globoil India 2026 pada 30 September, 2026, yang merupakan antara persidangan industri minyak dan lemak terkemuka di India dan dijangka menarik kira-kira 1,500 peserta daripada seluruh rantaian nilai global.

“Beliau juga akan bertemu dengan ahli-ahli kanan Persatuan Pengekstrak Pelarut (SEA) India dan pemimpin industri lain untuk membincangkan perkembangan pasaran, keperluan bekalan serta peluang kerjasama jangka panjang,” tambah MPOC.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement