TEMPIAS hebat COVID-19 bukan sahaja merencatkan pertumbuhan ekonomi, malah landskap dan aktiviti pelancongan dunia.

Namun, pelancongan domestik dilihat kembali bernafas apabila Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin mengumumkan sektor itu dibenarkan beroperasi semula mulai 10 Jun lalu.

Selepas lama terkurung susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pastinya bercuti ke tempat-tempat menarik di dalam negara menjadi pilihan utama rakyat. 

Lebih banyak kelonggaran diberikan kepada rakyat untuk melakukan aktiviti di luar rumah tetapi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

SOP yang ditetapkan itu turut disambut baik oleh pemain industri termasuklah sektor perhotelan, peniaga jalanan dan pengunjung tempatan.

Naib Presiden Kanan AnCasa Hotels & Resorts, Shah Azam Khan Noor Mohammad, berkata SOP ditetapkan tidak membebankan pihak hotel malah meningkatkan keselamatan pengunjung yang menginap di situ.

“Sebenarnya SOP ini membantu dan tidak menghindari daripada pengunjung untuk datang, ia sebenarnya membantu kedua-dua pihak, termasuklah dari segi keselamatan, keselesaan pengunjung dan pihak hotel.

“Kita bukan setakat menyahut baik tetapi kita juga akan memastikan SOP yang telah disarankan ataupun dibuat oleh kerajaan dipatuhi oleh semua pihak, bukan sahaja pengunjung tapi juga kakitangan hotel,” katanya kepada Astro AWANI di sini.

Selain itu, seorang peniaga rojak di Petaling Street, Catherine Leow, berkata dia sentiasa mematuhi SOP untuk memastikan makanan dijual kepada pelanggan selamat dan bersih.

“SOP menjadikan kawasan ini (Petaling Street) lebih selamat, semua orang memakai pelitup muka, sanitasi tangan dan lakukan pemeriksaan suhu sebelum berniaga atau ingin mengunjungi kawasan ini. 

"Sekarang, Petaling Street lebih bersih, macam saya seorang penjual makanan, pastinya saya lakukan sanitasi seluruh kedai supaya orang ramai yang datang rasa selamat. Oleh itu, harap lebih ramai rakyat Malaysia datang sokong perniagaan kami,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Pemain industri pelancongan kini boleh menghela nafas lega apabila melihat sambutan baik rakyat Malaysia yang beralih kepada pelancongan domestik ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengunjung tempatan, Muhd Khairul Ain Zulkifli berkata norma baharu yang diamalkan tidak memberikan impak yang ketara untuk menikmati keseronokan, malah menjadikannya lebih peka kepada persekitaran sekeliling.

“Setakat ini, SOP ini baik sahaja. Bila kena pakai pelitup muka dan jaga jarak fizikal tak menjadi satu masalah, impaknya jadikan kami lebih selamat bila melancong,” jelasnya apabila ditanya mengenai pembudayaan norma baharu.

Walau bagaimanapun, ketika semua rakyat Malaysia teruja untuk melancong ke pelbagai lokasi di dalam negara, bertindaklah seperti barisan hadapan supaya jangkitan COVID-19 ini dapat diputuskan.

Disebabkan itu, seperti kata Dr Noor Hisham, terus patuhi SOP, iaitu:

S: Syarat-syarat yang ditetapkan

O: Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan;

P: Penjarakan sosial diamalkan pada setiap masa iaitu sekurang-kurangnya satu meter.

Selagi rakyat mematuhi dan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian, rantaian penularan jangkitan COVID-19 akan dapat diputuskan.

Amalkan 3W:
Elakkan 3S:
Diharapkan rakyat Malaysia terus mengambil peluang menerokai dan menikmati tempat-tempat menarik di dalam negara bagi merancakkan lagi ekonomi pelancongan domestik.