KUALA LUMPUR: Bazar Aidilfitri yang bertempat di Jalan TAR di bu negara kelihatan meriah sempena hari pertama pengoperasiannya berbanding tahun sebelum ini yang turut menerima tempias dek situasi pandemik COVID-19 yang melanda.

Tinjauan Astro AWANI yang bermula pada jam 2 petang tadi mendapati lokasi tumpuan pengunjung ibu kota itu telah mula dipenuhi dengan mereka yang mula sakan mencari kelengkapan Aidilfitri.

Keadaan di bazar berkenaan mungkin agak suram sebelum ini meskipun ia dibuka berikutan terdapat had kemasukan pengunjung dan pematuhan SOP yang agak ketat.

Ini termasuk pagar yang melebihi paras kepala yang dipasang di kawasan tersebut bagi mengawal kemasukan pengunjung.

Namun memasuki Fasa Peralihan Endemik, golongan peniaga di bazar Aidilfitri Jalan TAR meletakkan harapan yang tinggi untuk mereka kembali bangkit susulan keadaan mereka yang 'terduduk' sebelum ini.

Menurut Rustam Munab yang telah berniaga lebih 30 tahun di kawasan itu tahun ini ternyata memberikan sedikit sinar buat dirinya untuk meraih pendapatan yang lebih.

"Alhamdulillah, kita tengok sejak pagi lagi orang dah mula datang untuk cari kelengkapan raya.

"Kita bersyukur sangat dengan kelonggaran sekarang ini, tiada had pengunjung, jadi ramai yang dapat masuk untuk berbelanja.

"Tinggi harapan kita sebenarnya bagi tahun ini untuk kita jana pendapatan lebih dengan peluang yang ada sekarang ini," katanya kepada Astro AWANI pada Sabtu.

Sementara itu, bagi Mohamad Rifdi Zakaria, perkara yang paling melegakan adalah melihat sekatan pagar yang telah kembali dibuka pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ujarnya, situasi itu sebelum ini jelas memberikan tamparan hebat terhadapnya ekoran pengunjung yang terbatas untuk memasuki kawasan bazar.

"Ini merupakan perkara yang paling seronok untuk kita lihat, sebab sebelum ini kita berniaga macam 'jatuh terduduk'.

"Sebelum ini, kalau berniaga pun memang susah nak balik modal sebab kawasan bazar ini sunyi tapi sekarang Alhamdulillah lega sikit tengok keadaan ketika ini," katanya.

Bercakap mengenai bazar Aidilfitri di Jalan TAR, ia sememangnya merupakan lokasi yang penuh nostalgia khususnya menjelang musim perayaan.

Bagaimanapun, keadaan pandemik COVID-19 telah membunuh suasana ceria tersebut dengan sekatan yang dikenakan kerajaan sebelum ini.

Namun situasi yang dirindui sebahagian besar warga kota kini kembali meriah di kawasan tersebut bahkan lagu raya juga telah mula berkumandang walaupun masih di awal minggu Ramadan.

Menyedari kelonggaran yang diberikan, peniaga juga turut mengambil kesempatan mengingatkan para pengunjung agar menjaga SOP yang ditetapkan bagi mengelakkan wujudnya kluster COVID-19.

Selain itu, orang ramai juga diminta untuk merancang pergerakan mereka terutamanya ketika hujung minggu bagi mengelakkan mereka terkandas dalam kesesakan.