MALAYSIA
NRES perkukuh komitmen tindakan iklim negara melalui projek Mitigasi Metana ASEAN-KOREA

memaklumkan projek serantau itu sedang dilaksanakan di sembilan negara anggota ASEAN, termasuk Malaysia dari 2024 hingga 2027.- Gambar Facebook NRES
PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memperkukuh komitmen Malaysia dalam tindakan iklim menerusi Projek Kerjasama ASEAN-Korea untuk Mitigasi Metana (AKCMM) bernilai USD 20 juta yang dibiayai oleh Dana Kerjasama ASEAN-Korea (AKCF).
NRES dalam kenyataan hari ini memaklumkan projek serantau itu sedang dilaksanakan di sembilan negara anggota ASEAN, termasuk Malaysia dari 2024 hingga 2027.
Menurut NRES, kerjasama strategik itu dilaksanakan bersama Institut Pertumbuhan Hijau Global (GGGI) yang bertindak sebagai rakan pelaksana bagi projek tersebut di bawah Kerjasama untuk Tindakan Metana ASEAN-Korea Selatan (PARMA), yang diumumkan semasa Mesyuarat Menteri Luar Negeri ASEAN-Korea Selatan pada 2023.
"Inisiatif strategik ini menegaskan peranan utama NRES untuk memacu agenda alam sekitar negara serta menyokong aspirasi ASEAN ke arah sebuah komuniti yang berdaya tahan iklim," menurut kenyataan itu.NRES memaklumkan komitmen itu diteruskan melalui penyertaan Malaysia bersama lebih 150 negara dalam menandatangani Ikrar Global Metana (GMP) pada Persidangan Perubahan Iklim (COP26) 2021.
Menurut kenyataan itu, ikrar tersebut menyatakan iltizam Malaysia untuk mengurangkan pelepasan metana global secara kolektif sekurang-kurangnya 30 peratus daripada paras pada 2020, menjelang 2030.
"Bagi tujuan ini, NRES akan bekerjasama rapat dengan pemain industri untuk menghasilkan rangka kerja dan pelan tindakan pengurangan metana negara di akhir projek," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, NRES memaklumkan Malaysia menyambut baik potensi kerjasama alam sekitar antara ASEAN dengan Amerika Syarikat (AS) dan China.
Kenyataan itu memaklumkan, Malaysia menzahirkan komitmen untuk memperkukuh jalinan kerjasama strategik serantau dalam menangani cabaran alam sekitar dan perubahan iklim melalui Dialog Tahap Tinggi ASEAN-AS mengenai Alam Sekitar dan Perubahan Iklim ke-4 serta Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN Campur Tiga mengenai Alam Sekitar ke-22
"Malaysia percaya bahawa perkongsian dengan negara rakan seperti AS dan China akan membolehkan perkongsian amalan terbaik, pemindahan teknologi serta kepakaran teknikal yang mampu menyokong usaha pembangunan mampan di rantau ini," menurut kenyataan itu.
Majlis pelancaran Projek Mitigasi Metana ASEAN-Korea telah disempurnakan hari ini oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kelestarian Alam) NRES Datuk Nor Yahati Awang sempena Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN mengenai Alam Sekitar (ASOEN) ke-36 di Langkawi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami