KULAI: Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) merekodkan sebanyak 5,944 laporan berhubung penipuan dalam talian menerusi talian perkhidmatannya setakat April lepas.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata daripada jumlah itu, sebanyak 2,566 kes melibatkan penipuan e-dagang, diikuti 1,369 kes penipuan telekomunikasi, manakala selebihnya merangkumi kes pinjaman tidak wujud dan pelaburan palsu.
Beliau berkata jumlah itu menunjukkan talian NSRC 997 semakin diketahui umum, walaupun pada masa sama masih terdapat banyak mangsa penipuan yang memperlihatkan pentingnya meningkatkan aspek kesedaran dan literasi digital dalam kalangan masyarakat.
"Meskipun masyarakat mengetahui tentang kewujudan talian berkenaan namun, angka berkenaan menunjukkan (masih) ramai terkena penipuan dalam talian," katanya kepada pemberita selepas Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat di Hutan Bandar Putra di sini hari ini.
Sementara itu, Teo berkata Kempen Internet Selamat akan diperluas ke sembilan daerah lain di Johor selepas Kulai menjadi lokasi pertama penganjuran Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat di negeri ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata selepas Kulai, program berkenaan akan diadakan di Kluang, Muar, Kota Tinggi, Pontian, Segamat, Batu Pahat, Mersing, Tangkak dan Johor Bahru, dengan program terakhir dijadualkan berlangsung pada 19 Dis.
Katanya, Kempen Internet Selamat yang dilancarkan pada 2025 asalnya hanya memberi tumpuan kepada institusi pendidikan termasuk sekolah rendah, sekolah menengah, institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
"Namun, tahun ini kami mahu mengambil pendekatan berbeza dengan melibatkan komuniti kerana pengetahuan mengenai penggunaan Internet secara selamat bukan sahaja diperlukan oleh pelajar dan murid, tetapi seluruh masyarakat termasuk ibu bapa serta golongan warga emas," katanya.
-- BERNAMA