Nurul Izzah Anwar didakwa pernah menyatakan minat untuk membeli data mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada bekas kakitangan PetroSaudi International (PetroSaudi), Xavier Andre Justo.

Menurut laporan akhbar The New Straits Times (NST) dan Berita Harian (BH) hari ini, ia merupakan pendedahan Justo dalam pengakuan bertulis yang dibuat atas kehendaknya sendiri.

Akhbar-akhbar itu melaporkan bahawa Nurul Izzah pernah menawar untuk membayar Justo dalam bentuk kontrak, tetapi Justo tidak menerima tawaran itu kerana mahukan bayaran tunai berjumlah US$2 juta (RM8.62 juta).

Justo dilapor berkata editor Sarawak Report, Clare Recastle-Brown ialah orang tengah di dalam urusan di antara Nurul Izzah dan dirinya.

“Sekitar September 2014, Clare menghubungi saya dan mengundang saya ke Bangkok. Dia berkata anak perempuan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim berminat membeli data itu.

“Saya menolak kerana Nurul mahu membayar US$2 juta dalam bentuk kontrak kerajaan apabila mereka berkuasa, bukan dalam bentuk tunai. Saya menolak tawaran itu kerana saya tidak melihat faedahnya,” kata Justo sepertimana dipetik di dalam laporan itu.

Astro AWANI cuba mendapatkan penjelasan daripada Nurul Izzah berhubung dakwaan ini namun tidak berjaya.

Turut dinamakan di dalam laporan itu ialah Ahli Parlimen Petaling Utara, Tony Pua yang didakwa telah mengatur penjualan data itu kepada pemilik The Edge Media Group (The Edge), Datuk Tong Kooi Ong bersama Rewcastle-Brown.

Sebelum ini, Pua pernah berkata beliau langsung tidak mengenali Justo serta tidak pernah berjumpa dengannya.

Walau bagaimanapun, Malaysiakini melaporkan hari ini bahawa Pua berkata beliau hanya memperkenalkan Rewcastle-Brown kepada orang atasan The Edge, tetapi tidak mengambil bahagian dalam sebarang pembocoran maklumat atau apa-apa urus niaga.

Semalam, NST melaporkan bahawa perbualan Rewcastle-Brown dengan beberapa individu melalui aplikasi WhatsApp membuktikan wujud konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia.

Menurut sumber yang rapat dengan pihak berkuasa Thailand, perbualan itu berlangsung selama tiga bulan dan mengaitkan pembabitan Rewcastle-Brown, Tong, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ho Kay Tat dan Justo, lapor NST.

Perbualan di WhatsApp itu juga dikatakan membuktikan bahawa Rewcastle-Brown mempunyai hubungan rapat dengan Anwar, Pua dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu, The Edge dalam reaksinya berkata, pihaknya tiada sebarang kaitan dengan usaha menjatuhkan kerajaan atau cuba mengubah bukti berkaitan 1MDB.