MALAYSIA
Nyah senarai FGV bermula 28 Ogos, harap hak peneroka lebih terbela - PM Anwar

Anwar berkata, menjadi harapan Kerajaan Madani agar keutamaan, khususnya keuntungan FGV disalurkan kembali kepada golongan peneroka Felda. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Penyahsenaraian FGV Holdings Bhd daripada Bursa Malaysia, yang akan bermula 28 Ogos ini, diharap dapat mengembalikan tujuan penubuhan syarikat itu kepada matlamat asalnya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ringkasan AI
- FGV Holdings akan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia bermula 28 Ogos 2025, dengan harapan ia dapat mengembalikan fokus syarikat kepada matlamat asal penubuhannya, iaitu memanfaatkan keuntungan untuk kepentingan peneroka Felda.
- Felda kini menguasai 92 peratus saham FGV, membolehkan pemilikan penuh dan penstrukturan semula syarikat. Ini memberi ruang kepada Felda dan Koperasi Permodalan Felda Bhd untuk menentukan hala tuju syarikat demi faedah peneroka.
- Langkah ini diumumkan sempena Karnival Mega 3 Dimensi 2025, dan selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memastikan projek Felda memberi manfaat terus kepada komuniti peneroka melalui pengurusan yang lebih tersusun dan berfokus.
“Kita boleh mula nyah senarai mulai 28 Ogos ini. Maknanya Felda tidak terikat, Felda satu kekuatan dengan FGV boleh tentukan arah tuju mereka dan boleh beri jaminan dengan koperasi (Koperasi Permodalan Felda Bhd) supaya faedah dan kepentingan peneroka itu menjadi keutamaan.
“Sebaik saja hal ini ini diuruskan, saya bersama Datuk Seri (Ahmad) Zahid (Hamidi) akan tetapkan dengan Ahmad Shabery Cheek (Pengerusi Felda), dan rakan rakan, dan saya nak pastikan pengarahan yang jelas daripada Kerajaan.
"...iaitu, pastikan FGV kembali kepada matlamat asal Felda. Keutamaannya kepada peneroka… hak mereka, hasil mereka, dan koperasi yang mereka tentukan. Jadi yang selanjutnya biar mereka uruskan untuk beberapa bulan pertama, supaya akan berhasil projek Felda seperti mana diinginkan,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Karnival Mega 3 Dimensi 2025, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di ibu negara pada Sabtu
Bemula 30 Julai hingga 3 Ogos ini, karnival yang bertemakan ‘Desaku Mendunia’ itu menggabungkan Karnival Usahawan Desa oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Sambutan Hari Peneroka Felda oleh Lembaga Tanah Persekutuan (Felda), dan Showcase Satu Daerah Satu Industri oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Sebelum ini, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, penguasaan Felda sebanyak 92 peratus saham FGV, membuka laluan kepada pemilikan penuh serta penstrukturan semula syarikat itu.
Beliau, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pemilikan penuh itu akan dimuktamadkan oleh Bursa Malaysia dan keuntungan daripadanya dijangka disalurkan semula kepada warga peneroka.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami