Skip to main content

Malaysia

Perginya Abdul Gani Patail, tokoh perundangan kendali kes berprofil tinggi

Abdul Gani yang memegang jawatan Peguam Negara selama 13 tahun bermula 2002 hingga 2015 menghembuskan nafas terakhirnya di sebuah hospital swasta pada Khamis akibat jangkitan. - Foto Sinar Harian
Abdul Gani yang memegang jawatan Peguam Negara selama 13 tahun bermula 2002 hingga 2015 menghembuskan nafas terakhirnya di sebuah hospital swasta pada Khamis akibat jangkitan. - Foto Sinar Harian

Ringkasan AI

  • Bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail meninggal dunia akibat jangkitan di sebuah hospital swasta malam tadi pada usia 68 tahun.
  • Sepanjang 13 tahun sebagai Peguam Negara, beliau mengetuai pendakwaan kes berprofil tinggi termasuk kes Al-Ma'unah, Altantuya Shaariibuu dan skandal PKFZ.
  • Abdul Gani merupakan rakyat Sabah pertama dilantik sebagai Peguam Negara dan banyak menyumbang dalam bidang perundangan negara.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sepanjang lebih tiga dekad berkhidmat dalam bidang perundangan, bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail merupakan figura penting dalam beberapa kes berprofil tinggi yang mencuri perhatian, sekali gus meletakkan namanya antara tokoh penting dalam landskap perundangan negara.

Abdul Gani pernah mengendalikan beberapa kes pendakwaan berprofil tinggi antaranya kes rasuah membabitkan bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Joseph Pairin Kitingan pada 1993 dan kumpulan pemberontak Al-Ma'unah pada 2000.

Anak kelahiran Lahad Datu, Sabah itu pernah mengetuai pasukan pendakwaan membabitkan 30 individu termasuk warga Filipina yang didakwa melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong serta terbabit dalam pelbagai kegiatan keganasan di Lahad Datu, Sabah pada 2013.

Advertisement

Abdul Gani yang memegang jawatan Peguam Negara selama 13 tahun bermula 2002 hingga 2015 menghembuskan nafas terakhirnya di sebuah hospital swasta malam tadi akibat jangkitan.

Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar yang mengesahkan berita duka itu turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham. 

Advertisement

“Seluruh warga Jabatan Peguam Negara (AGC) mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT,” kata Mohd Dusuki ketika dihubungi.

Abdul Gani juga terlibat dalam pasukan pendakwaan bagi kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Beliau turut mengetuai pendakwaan dalam kes bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik atas pertuduhan menipu Kerajaan Malaysia berhubung skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) melibatkan pembelian tanah di Pulau Indah membabitkan RM1.08 billion pada 2010.

Selain itu, Abdul Gani mengendalikan pendakwaan terhadap bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo atas kesalahan rasuah berkaitan pembelian hartanah.

Abdul Gani turut mengetuai pasukan pendakwaan untuk kes bekas Pengarah Urusan Perwaja Rolling Mill and Development Sdn Bhd Tan Sri Eric Chia Eng Hock atas tuduhan melakukan pecah amanah jenayah membabitkan wang berjumlah RM76.4 juta selain mengendalikan kes rasuah membabitkan bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Tan Sri Kasitah Gaddam.

Abdul Gani yang dilahirkan pada 6 Okt 1955 memulakan kerjaya dalam bidang kehakiman pada 1980 sebelum berkhidmat sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara, Tawau, Sabah. Beliau merupakan rakyat Sabah pertama yang memegang jawatan itu selepas pejabat Peguam Negara Persekutuan ditubuhkan di negeri berkenaan.

Sepanjang kerjaya, Allahyarham memegang beberapa jawatan penting antaranya Ketua Jabatan Pendakwaan Sabah pada 1991, Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara dari 16 Jan hingga 14 Okt 1994, serta Ketua dan Penasihat Bahagian Antarabangsa dari 1 April 1995 hingga 31 Mei 1997.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Pesuruhjaya Penyemak Undang-Undang dari 1997 hingga 2000 sebelum kembali menerajui Ketua Bahagian Pendakwaan pada 1 Feb 2000. 

Pada 19 Nov 2001, Abdul Gani dilantik sebagai Peguam Negara kelapan dan secara rasmi memegang jawatan itu pada 1 Jan 2002, sekali gus mencipta sejarah sebagai graduan undang-undang tempatan pertama dilantik ke jawatan berkenaan serta rakyat Sabah pertama yang memegang antara jawatan tertinggi dalam Perkhidmatan Awam Persekutuan.

Pelantikan itu merupakan satu pencapaian besar dalam perjalanan kerjaya perundangan beliau yang menyaksikan Allahyarham menerajui institusi perundangan tertinggi negara selama lebih 13 tahun sebelum perkhidmatannya sebagai Peguam Negara ditamatkan berkuat kuasa 27 Julai 2015 atas faktor kesihatan.

Bagaimanapun, beliau terus berkhidmat sebagai pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan hingga mencapai umur persaraan wajib pada 6 Okt 2015.

Allahyarham turut menyumbang kepakaran dan pengalamannya dalam bidang perundangan menerusi pelbagai tanggungjawab lain, termasuk sebagai ahli Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi MARA (UiTM) selama dua tahun bermula 1 Oktober 2011, selain memegang jawatan Pengerusi Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Pada 23 Dis 2016, beliau diterima masuk sebagai Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement