KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil kira kesemua aspek dalam membuat keputusan yang terbaik berkait penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).

Pengarah Perhutanan Negeri Selangor, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata cadangan penyahwartaan itu juga telah melalui proses yang teliti oleh Jawatankuasa Penyiasatan Awam selaras dengan Kaedah-Kaedah Penyiasatan Awam (Selangor) 2014.

"Hasil kajian pakar perunding yang dilantik Kerajaan Negeri iaitu UPM Consultancy & Services Sdn. Bhd. pada tahun 2020 turut digunakan dalam pertimbangan penyahwartaan HSKLU.

"Berdasarkan kajian perunding tersebut, didapati nilai biodiversiti HSKLU dan kawasan-kawasan gantian adalah hampir sama.

"Kerajaan Negeri Selangor masih mengekalkan kira-kira 46 peratus daripada kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU), Mukim Tanjung Duabelas, Daerah Kuala Langat sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK).

"Hal ini adalah berdasarkan kepentingan fungsi HSKLU tersebut sebagai hutan paya gambut yang unik dan lain- lain faktor seperti peninggalan kampung orang asli lama dan kubur nenek moyang orang asli suatu ketika dahulu," katanya dalam satu kenyataan , di sini hari ini.

Justeru katanya, Hutan Paya Gambut di Mukim Sungai Panjang yang mempunyai jenis sama dengan HSKLU telah dijadikan sebagai kawasan gantian.

Lokasi pewartaan keluar HSKLU. - Foto Jabatan Perhutanan Selangor

Selain itu, beliau menjelaskan,HSKLU merupakan hutan yang telah terpisah daripada kompleks hutan utama dan mengalami tekanan pembangunan tanah tepu bina di sekelilingnya seperti lebuhraya SKVE, Bandar Saujana Putra, Gamuda Cove dan perkampungan orang asli.

"HSKLU ini juga telah diklasifikasikan sebagai kawasan yang berisiko tinggi untuk terbakar oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor pada tahun 2016 dan mengalami kemerosotan (degradasi) akibat beberapa kali terbakar pada tahun 2012, 2013, 2014, 2017 dan 2021.

"Kerajaan Negeri Selangor turut mengenakan beberapa syarat kepada pemaju Gabungan Indah Sdn. Bhd. yang telah diluluskan pemberimilikan di kawasan nyahwarta HSKLU pada tahun 2021," katanya.

Antara syarat yang dikenakan adalah keperluan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA), Kajian Impak Sosial (SIA) dan lain-lain syarat yang berkaitan termasuklah pengekalan sebanyak 20 peratus daripada kawasan pembangunannya sebagai kawasan hijau serta keperluan translokasi spesies-spesies flora dan fauna yang berkepentingan.

Keadaan kawasan HSKLU yang dinyahwarta. - Foto Jabatan Perhutanan Selangor

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata kerajaan Selangor bersetuju menyahwartakan 536.7ha Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) untuk dibangunkan.

Katanya, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Exco pada 5 Mei lalu berdasarkan Seksyen 12 Akta Perhutanan Negara 1984.

Hutan Simpan Kuala Langat Utara yang diwartakan pada 13 Mei 1927, terletak di mukim Tanjung 12, daerah Kuala Langat mula menjadi perhatian umum susulan notis penyiasatan awam di bawah Seksyen 11 Akta Perhutanan Negara Enakmen (Pemakaian) 1985 (Subkaedah 7(2)) oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor pada awal tahun lalu.

Malah, usaha untuk membangunkan tanah kawasan tersebut dibantah hebat NGO alam sekitar dan masyarakat Orang Asli.

Keadaan hutan terosot di HSKLU yang dinyahwarta. - Foto Jabatan Perhutanan Selangor