KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sejumlah 58 lagi kes positif COVID-19 disahkan varian Omicron hasil jujukan genum penuh (WGS) oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes varian Omicron di Malaysia adalah sebanyak 122 kes.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi satu kenyataan memaklumkan daripada 58 kes itu, 54 kes merupakan jangkitan import manakala empat kes lagi merupakan penularan tempatan.

"Daripada 54 kes jangkitan import, 39 kes adalah daripada Arab Saudi; tujuh dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), empat kes dari United Kingdom, dua kes dari Nigeria dan masing-masing satu kes dari Kazakhstan dan Perancis.

"Manakala, empat kes penularan tempatan dipercayai mendapat jangkitan daripada seorang jemaah umrah yang positif COVID-19 varian Omicron.

"Ujian WGS ke atas sampel-sampel yang menunjukkan kemungkinan varian Omicron masih dijalankan dan KKM akan memberi perkembangan terkini berhubungan pengesahan varian Omicron dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan tersebut.

Mengulat lanjut, Khairy berkata, daripada keseluruhan 122 kes varian Omicron di Malaysia, 117 kes merupakan jangkitan import manakala lima kes lagi merupakan penularan tempatan.

"Daripada keseluruhan kes varian Omicron yang dilaporkan, sebanyak 71 kes (58.2 peratus) merupakan jemaah umrah.

"KKM juga ingin memaklumkan bahawa hasil ujian PCR Genotyping Assay yang dijalankan oleh IMR ke atas 1,774 kes positif COVID-19 dalam kalangan pengembara yang tiba di Malaysia bagi tempoh 1 hingga 31 Disember 2021 mendapati 1,220 (68.8 peratus) sampel menunjukkan berkemungkinan (presumptive) varian Omicron.


"Daripada 1,220 presumptive varian Omicron ini, 928 (76.1 peratus) melibatkan sampel pengembara yang tiba dari Arab Saudi," katanya.

Mengenai penularan tempatan, Khairy berkata empat kes varian Omicron itu telah dilaporkan di Kedah pada 4 Januari 2022.

"Keempat-empat kes merupakan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 varian Omicron yang balik dari mengerjakan umrah di Arab Saudi pada 12 Disember 2021 dan disahkan positif varian Omicron pada 24 Disember 2021.

"Pendedahan kepada kes ini berlaku pada 13 Disember 2021 dan kesemua mereka mula bergejala dengan kategori 2 pada 17 Disember 2021.

"Ujian RT-PCR COVID-19 yang dijalankan selanjutnya pada 19 Disember 2021 adalah positif dengan CT Value di antara 20.80 hingga 21.49.

"Kesemua mereka telah diberi rawatan selama 14 hari di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah," katanya.

Justeru katanya, KKM mengingatkan individu yang diarahkan menjalani kuarantin wajib di kediaman untuk terus mematuhi arahan tersebut dengan kekal dalam bilik berasingan dan tidak bertemu dengan ahli rumah atau individu yang lain.

"Kegagalan mematuhi arahan ini akan menyebabkan penularan jangkitan COVID-19 termasuk varian Omicron kepada ahli keluarga dan dalam komuniti.

"KKM menyarankan kepada individu yang layak menerima vaksin COVID-19 supaya mendapatkan dos penggalak bagi mencapai tahap perlindungan yang optimum serta mengelakkan jangkitan COVID-19 yang teruk serta komplikasinya," katanya.