JAKARTA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan delegasi 40 pegawai kanan merupakan antara wakil kerajaan Malaysia terawal mengadakan lawatan rasmi ke ibu kota baharu Indonesia.

Ketika lawatan, rombongan itu kelihatan teruja di 'Titik Nol', merujuk kepada 'Titik Sifar' wilayah ibu kota baharu republik itu, dinamakan Nusantara, istilah Jawa lama yang bermaksud kepulauan, kira-kira 2,000 kilometer dari sini.

Nusantara dibina di atas tapak seluas 256,105 hektar, kira-kira empat kali ganda lebih besar daripada Jakarta, menawarkan pelbagai peluang perniagaan untuk pelabur.

"Kami sama-sama teruja dengan langkah perpindahan itu kerana jelas limpahan ekonominya akan memberi manfaat kepada negeri jiran Malaysia - Sabah dan Sarawak.

"Delegasi melawat tapak cadangan untuk istana presiden, lokasi Presiden Jokowi Widodo berkhemah bersama pegawai tertingginya beberapa minggu sebelumnya," kata Ongkili dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menteri itu diiringi Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Turut serta ialah Kuasa Usaha Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia Adlan Mohd Shaffieq, dan Anggota Parlimen Sarawak Datuk Joseph Salang Gandum.

Istana presiden, bangunan perundangan dan jabatan kerajaan negara yang penting akan dibuka di ibu negara baharu sebelum petukaran presiden seterusnya pada 2024.

Lokasi yang dipilih adalah kawasan yang memisahkan Wilayah Penajam Paser Utara dan Wilayah Kutai Kartanegara di Kalimantan Timur, iaitu antara Balikpapan dan Samarinda.

Projek pembinaan di bandar itu sepatutnya bermula pada 2020, tetapi terpaksa ditangguhkan berikutan pandemik COVID-19 dan disambung semula pada 2021.

"Bagaimanapun, sungguhpun teruja dengan perkembangan baharu itu, di pihak Malaysia, kami perlu bersedia sepenuhnya untuk perubahan besar itu," kata Ongkili.

Antara isu yang perlu diteliti termasuk ekonomi perdagangan sempadan, logistik dan keselamatan.

Terdapat juga keperluan bagi Kerajaan Persekutuan untuk mempercepatkan penubuhan pusat Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di semua pintu masuk ke Malaysia.

Perwakilan Malaysia berada dalam rangka lawatan rasmi selama seminggu ke Indonesia, mulai 26 Mac, dan kini berada di Tarakan, persinggahan keempat mereka selepas Jakarta, Samarinda dan Balikpapan.

Kemudian, delegasi akan melawat PT Bayan Resources Tbk, yang terlibat dalam perlombongan terbuka dengan pelbagai lombong arang batu di Kalimantan Timur dan Selatan.

-- BERNAMA