SEREMBAN: Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) membuka 106 kertas siasatan daripada 64 syarikat yang diperiksa dalam Operasi Bersepadu Mega (Op Gegar) selama dua hari sejak semalam di seluruh Semenanjung dan Labuan.

Ketua Pengarah JTKSM Kamal Pardi berkata ia membabitkan pelbagai kesalahan mengikut Akta Kerja 1955, Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) serta Perintah Gaji Minimum di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.

Beliau berkata kesemua majikan itu adalah daripada pelbagai sektor termasuk pembuatan, perladangan dan pembinaan membabitkan hampir 4,000 pekerja asing dan tempatan dengan kira-kira tiga premis diperiksa di setiap negeri dalam tempoh itu.

"Majikan wajib menyediakan penginapan kondusif untuk pekerja sama ada tenaga kerja asing mahupun tempatan dan ia perlu mendapat kelulusan Perakuan Penginapan daripada JTK dan pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai operasi di penempatan pekerja sebuah kilang yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Kamal turut mengingatkan majikan supaya menjaga kebajikan pekerja masing-masing termasuk menyediakan keperluan asas sempurna seperti kemudahan katil, tilam dan almari berkunci, selain tidak memuatkan ramai pekerja di dalam satu bilik asrama.

Beliau berkata sekiranya majikan merasakan tempat penginapan disediakan tidak kondusif, mereka boleh menempatkan pekerja di Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) dengan bayaran RM250 seorang, sekali gus memastikan keselesaan warga kerja terjamin.

"Dalam akta juga dibenarkan pekerja dikenakan bayaran RM100, jadi majikan hanya perlu tambah RM150 ... pekerja perlu rehat cukup, barulah produktiviti ditingkatkan, kena ada situasi menang-menang, pekerja produktif akan hasilkan keuntungan pada syarikat," katanya dan menambah terdapat kira-kira 1,000 CLQ diluluskan di dalam negara.

Terdahulu, dalam operasi hari ini, Kamal berkata siasatan pihaknya mendapati kemudahan yang disediakan untuk lebih 160 warga asing di asrama itu tidak mematuhi Akta 446, selain penempatan terbabit didapati masih belum mendapat sebarang kelulusan daripada JTK.

"Kita tengok keadaan agak daif, tidak tersusun dengan bau yang tidak menyenangkan dan di tempat tidur pula barang bersepah, walaupun ada disediakan katil tapi keadaan tidak kondusif, ini perkara yang kita tekankan dalam Akta 446," katanya.

Sementara itu, Veerapan berkata majikan di Negeri Sembilan diberi tempoh tiga bulan bermula hari ini untuk memindahkan pekerja yang menduduki penginapan haram ke 25 CLQ di seluruh negeri ini, selain meminta PBT untuk terus membuat penguatkuasaan dan mengambil tindakan sewajarnya.

Beliau berkata CLQ berkenaan boleh menampung kapasiti berjumlah 8,349 pekerja dengan rekod terkini JTKNS mendapati masih terdapat kekosongan di pusat berkenaan iaitu sebanyak 3,751.

"Hal ini bermakna majikan tidak mempunyai alasan untuk tidak menempatkan pekerja yang mereka gajikan di penginapan yang telah diberi perakuan itu bagi memastikan keselesaan mereka," katanya.

-- BERNAMA