PUTRAJAYA: Sebanyak 121 tangkapan melibatkan 145 kes pelbagai kesalahan melibatkan rampasan bernilai RM9 juta berjaya direkodkan sepanjang pelaksanaan Op Khas Pagar Laut yang diadakan secara berfasa bermula 18 Mac dan berakhir 16 April lepas.

Pemangku Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata antara dirampas ialah bot, ikan, barangan kawalan seperti minyak masak dan beras serta barangan kontraban seperti rokok dan dadah.

"Kesalahan dikesan antaranya melibatkan kes di bawah Akta Perikanan 1985, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Imigresen 1959/63, Akta Kastam 1967, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sepanjang pelaksanaan Op Khas Pagar Laut fasa tiga, sebanyak 55 tangkapan melibatkan 69 kes dengan pelbagai kesalahan berjaya direkodkan.

Tangkapan berkenaan, katanya antaranya melibatkan 37 kes di bawah Akta Perikanan 1985, Akta Kawalan Bekalan 1961 (tiga), Akta Imigresen 1959/63 (sembilan), Akta Kastam 1967 (tiga), Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (tujuh), Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 (lapan) serta masing-masing satu kes di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994.

Saiful Lizan berkata Op Khas Pagar Laut akan diteruskan menerusi fasa empat iaitu dari 17 hingga 30 April ini bagi mengukuhkan kawalan keselamatan di laut terutamanya di setiap titik 'panas' seluruh negara selepas sambutan Aidilfitri.

Beliau berkata tumpuan akan diberikan terhadap semua aktiviti jenayah rentas sempadan terutama kes melibatkan pendatang tanpa izin, penyeludupan kontraban serta penyeludupan barang kawalan di sempadan perairan seluruh negara.

-- BERNAMA