MALAYSIA
Op Laluan Motosikal: Polis guna dron kesan pesalah di Lebuhraya Persekutuan

Penunggang motosikal diingatkan agar tidak menggunakan laluan utama kerana risiko kemalangan lebih tinggi. - Gambar hiasan/ Reuters
KUALA LUMPUR: Polis menggunakan dron untuk merakam gambar motosikal yang melakukan kesalahan tidak menggunakan laluan sepatutnya, dalam Operasi Penguatkuasaan Undang-Undang terhadap penunggang kenderaan itu di Lebuhraya Persekutuan, di sini hari ini.
Ringkasan AI
- Polis menggunakan dron untuk merakam nombor pendaftaran motosikal yang tidak menggunakan laluan khas, dan saman akan dikeluarkan walaupun penunggang tidak ditahan di lokasi.
- Operasi ini bertujuan mengurangkan kemalangan maut melibatkan motosikal, yang menyumbang 70 peratus daripada jumlah kematian jalan raya, dengan 204 kes kemalangan direkodkan di Lebuhraya Persekutuan tahun ini.
- Penunggang motosikal diingatkan agar tidak menggunakan laluan utama kerana risiko kemalangan lebih tinggi, dan syarikat konsesi lebuh raya disaran memastikan laluan motosikal selamat dan terang.
"Walaupun pesalah ini fikir sudah melarikan diri pada hari ini, sebenarnya sudah ada dron yang mencatat nombor pendaftaran mereka dan saman akan dikirimkan kepada pesalah di bawah POL 170A untuk tindakan lanjut," katanya dalam sidang media operasi itu.
Operasi berkenaan turut disertai Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Supt Edward Kondokor.
Mengulas mengenai sikap sesetengah penunggang motosikal yang bertindak sebagai "samseng jalanan", Shahrulnizam berkata penunggang perlu mengawal perasaan dan harus sedar kesalahan yang dilakukan apabila berada di laluan utama kerana mereka tidak berada di laluan yang sepatutnya.
"Sekiranya mereka menggunakan jalan utama, mereka juga berisiko tinggi untuk mendapat kecederaan akibat daripada kemalangan, jadi operasi motosikal pada hari ini bertujuan meminimumkan kes kemalangan.
"Operasi secara bersasar ini menumpukan penguatkuasaan kepada pengguna motosikal memandangkan 70 peratus kematian adalah daripada penunggang motosikal," katanya.
Beliau berkata jumlah kemalangan melibatkan penunggang motosikal di Lebuhraya Persekutuan di bawah pentadbiran IPD Petaling Jaya menunjukkan peningkatan dengan merekodkan 204 kes pada tahun ini, iaitu meningkat sebanyak 35.1 peratus bersamaan 53 kes berbanding tahun sebelum ini sebanyak 151 kes.
"Bagi daerah ini, sebanyak 52 kematian direkodkan pada tahun lepas manakala bagi tahun ini, terdapat 34 kematian dicatatkan setakat Mei sahaja.
"Jadi, kita ambil inisiatif ini supaya pengguna-pengguna jalan raya, khususnya penunggang motosikal sedar bahawa menjadi suatu kesalahan dan membawa mudarat apabila menggunakan jalan utama sebagai laluan mereka sedangkan laluan motosikal telah disediakan," katanya.
Beliau juga menasihatkan kepada syarikat konsensi lebuh raya untuk memastikan laluan motosikal selamat dilalui oleh para penunggang dari segi pencahayaan dan keadaan jalan raya itu sendiri bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami