Skip to main content

Malaysia

Op Mabuk: Lebih 900 ditahan akibat memandu di bawah pengaruh alkohol

KUALA LUMPUR, 29 Julai -- Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali bercakap pada sidang media mengenai prestasi Op Mabuk bagi tempoh Januari hingga Jun 2026 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, daripada keseluruhan tangkapan itu, 895 individu adalah lelaki, manakala 54 individu adalah wanita. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,634 operasi dilaksanakan di seluruh negara menerusi Op Mabuk bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, meningkat berbanding 692 operasi dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil operasi berkenaan, sebanyak 949 tangkapan direkodkan sepanjang enam bulan pertama tahun ini, berbanding 930 tangkapan bagi tempoh sama pada 2025.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, daripada keseluruhan tangkapan itu, 895 individu adalah lelaki, manakala 54 individu adalah  wanita.

"Kontinjen tertinggi yang merekodkan jumlah tangkapan tertinggi ialah Kuala Lumpur (268 kes), diikuti Johor (223 kes), Selangor (182 kes), Sabah (95 kes) dan Sarawak (62 kes).

"Mengulas pecahan mengikut umur, kumpulan berusia 41 tahun ke atas mencatat jumlah tangkapan tertinggi iaitu 364 individu, diikuti 31 hingga 40 tahun (352 individu), 21 hingga 30 tahun (225 individu) dan 16 hingga 20 tahun (tujuh individu)," kata beliau pada sidang media di ibu negara pada Rabu.

Dalam pada itu, Muhammed Hasbullah berkata peningkatan jumlah tangkapan menunjukkan masih ramai pemandu memandang ringan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

"Sebab itu kita akan mengemukakan cadangan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk meneliti semula hukuman sedia ada," katanya.

Beliau berkata, apa yang paling membimbangkan ialah pengguna jalan raya yang tidak bersalah menjadi mangsa akibat tindakan pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak memandu selepas mengambil minuman beralkohol kerana perbuatan itu boleh mengakibatkan kehilangan nyawa, kerosakan harta benda serta meningkatkan risiko kemalangan kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

"Jangan memandu selepas mengambil alkohol. Gunakan perkhidmatan e-hailing, teksi atau pengangkutan awam sekiranya anda telah minum. Rancang perjalanan lebih awal atau lantik seorang pemandu yang tidak mengambil alkohol.

"Ahli keluarga dan rakan-rakan juga digalakkan menghalang individu yang mabuk daripada terus memandu. Tindakan kecil seperti ini mampu menyelamatkan nyawa," katanya.

Muhammed Hasbullah berkata, JSPT akan terus memperkukuhkan penguatkuasaan dan tindakan perundangan terhadap kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol selaras dengan Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"JSPT tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah. 

"Keutamaan kami ialah memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan mengurangkan risiko kemalangan yang meragut nyawa," tambahnya.

Must Watch Video

Advertisement