KUALA LUMPUR: Jumlah kemalangan maut yang dicatatkan dalam Op Selamat 18 bersempena sambutan Aidilfitri meningkat sebanyak tujuh peratus kali ini, berbanding 2019.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata sebanyak 160 kemalangan maut direkodkan selama 10 hari bermula 29 April lalu, berbanding 150 kes pada Op Selamat yang lalu.

Sementara itu, katanya jumlah kemalangan keseluruhan yang dicatatkan sepanjang tempoh tersebut ialah 15,947 kes iaitu meningkat satu peratus berbanding 15,836 kes sebelum ini.

"Jumlah itu menunjukkan bahawa berlaku peningkatan jumlah kemalangan sebanyak 111 kes pada Op Selamat kali ini.

"Jumlah kematian yang direkodkan juga meningkat sebanyak empat peratus iaitu enam kes," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, antara faktor kemalangan adalah disebabkan pertambahan aliran trafik yang tinggi sehingga mencapai lima juta kenderaan membabitkan pergerakan balik ke kampung dan pulang semula ke kota.

Katanya, begitupun polis melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dengan pelbagai bantuan agensi masih mampu mengawal situasi di jalan raya.

Sementara itu, katanya jumlah kompaun saman yang dikeluarkan sepanjang Op Selamat 18 meningkat sebanyak 51 peratus iaitu 338,296 berbanding 223,449 pada operasi yang sama pada 2019.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 330 tangkapan dicatatkan membabitkan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Akta 574 (16), Akta Dadah Berbahaya 1952 (111) dan lain-lain kesalahan (39).

Katanya, jumlah keseluruhan tangkapan yang dilakukan dalam Op Selamat 18 adalah 496 kes.