KUALA LUMPUR: Seramai 5,544 anggota polis trafik akan ditugaskan sepanjang pelaksanaan Op Selamat 26 sempena Aidilfitri bermula 19 hingga 24 Mac.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, operasi kali ini mengangkat tema 'Kongsi Perjalanan, Kongsi Keselesaan, Keselamatan Diutamakan'.
Advertisement
Menurut beliau, penugasan anggota dibuat berdasarkan analisis terperinci terhadap kawasan berisiko tinggi yang dikenal pasti lebih awal.
“Kita buat kajian sebelum ini dan analisis untuk kenal pasti ‘hotspot’ dan juga ‘blackspot’.
“Blackspot ini kita tengok berdasarkan statistik kemalangan lalu, dan dari situ kita buat perancangan penempatan anggota supaya kehadiran mereka bersifat omnipresence di kawasan tersebut.
“Selain itu, melalui maklumat daripada PLUS, kita jangkakan sebanyak 2.3 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya sepanjang tempoh Hari Raya Aidilfitri,” tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Op Selamat 26 di ibu negara pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan ‘hotspot’ merujuk kepada kawasan kesesakan trafik, manakala ‘blackspot’ pula melibatkan lokasi yang kerap berlaku kemalangan.
“Berdasarkan analisis yang dibuat, kita lakukan penelitian awal bagi memastikan anggota dan pegawai dapat ditempatkan secara strategik sepanjang tempoh perayaan,” jelasnya.
Tambah beliau, sebanyak 34 lokasi dikenal pasti sebagai hotspot di sepanjang lebuh raya utama, manakala 25 lagi dikategorikan sebagai blackspot.