Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) akan melancarkan operasi besar-besaran di pulau-pulau dan daratan yang menjadi tumpuan dan persembunyian penjenayah rentas sempadan dan aktiviti yang menyalahi undang-undang negara ini, khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Komander ESSCOM DCP Dato' Abdul Rashid Harun berkata tumpuan operasi gabungan yang turut disertai pelbagai agensi penguatkuasa negeri dan Persekutuan itu ialah pulau-pulau dan kawasan daratan di daerah Semporna, Kunak, Lahad Datu dan Sandakan.

Beliau berkata langkah drastik itu merupakan sebahagian daripada usaha ESSCOM untuk membanteras jenayah rentas sempadan, khususnya penculikan di ESSZONE.

Abdul Rashid yakin dengan adanya iltizam dan kesungguhan semua pasukan keselamatan, agensi kerajaan dan komuniti setempat, operasi itu mampu membuahkan hasil yang diharapkan.

"Sukacita dimaklumkan hasil usaha dan iltizam semua dalam melaksanakan tugasan rondaan dan penguatkuasaan baik di laut mahupun di daratan, kita dapat membendung kes penculikan sejak 12 Julai tahun lepas (2014).

"Selain itu, kita menjejaskan secara ketara jaringan penyeludupan di ESSZONE...tekad ESSCOM ialah terus berusaha untuk mengekang kes culik untuk tebusan," katanya ketika berucap pada majlis serah terima dua boya tambatan (mooring buoy) dari pengarah laut, Jabatan Laut Malaysia Sabah kepada ESSCOM di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Awam ESSCOM Ruji Ubi, Ketua Komponen Laut ESSCOM Laksamana Pertama Maritim M Karunanithi, Pengarah Laut Jabatan Laut Malaysia Sabah Rosnan Fathlal dan Pegawai Daerah Semporna Dr Chacho Bula.

Abdul Rashid berkata dengan adanya dua boya yang diletakkan di perairan Semporna itu, dua kapal induk (mothership) dapat bertambat di boya berkenaan dan melakukan pengawasan visual dan radar dengan lebih berkesan.

Pada masa yang sama, katanya, beberapa bot akan menggunakan kapal induk itu untuk berhimpit, sekali gus menjadikan kapal induk sebagai medan untuk melancarkan rondaan dan tunggu sedia untuk respon pantas sekiranya mengesan vesel yang mencurigakan.

Beliau berkata ESSCOM bercadang menambah perolehan boya itu yang bakal diletakkan di lokasi-lokasi tertentu yang sesuai pada masa depan.

Abdul Rashid berkata ESSCOM dengan kerjasama pasukan keselamatan, agensi kerajaan, ketua masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) telah mengambil pelbagai langkah bagi membendung kegiatan jenayah rentas sempadan, khususnya penyeludupan, penculikan dan pencerobohan bersenjata di ESSZONE.

Katanya ini termasuk meningkatkan aset keselamatan di ESSZONE, menambah atur gerak aset maritim dan daratan, menjalankan operasi penguatkuasaan secara berterusan di laut dan daratan, meneruskan perintah berkurung, mengetatkan kawalan di resort atau kawasan berisiko dan mengadakan program bersama pemimpin masyarakat, pengusaha resort, komuniti perniagaan dan masyarakat setempat secara berterusan.

ESSZONE merangkumi 10 daerah yang meliputi 1,733.7 kilometer dari Kudat ke Tawau. Daerah-daerah terbabit ialah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan,Lahad Datu, Kunak, Semporna, dan Tawau.