TAIPING: Bas elektrik (EV) Majlis Perbandaran Taiping (MPT) akan beroperasi bagi tempoh percubaan selama tiga bulan bermula 1 Mei hingga 31 Julai ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Sandrea Ng Shy Ching berkata perkhidmatan bas tersebut hanya akan mula beroperasi secara berbayar kepada orang awam pada 1 Ogos.

Ng berkata beliau difahamkan dengan pengoperasian bas itu, MPT menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama dalam negara yang memiliki serta menguruskan bas EV.

"Bas EV ini kita percaya akan membantu melonjakkan sektor pelancongan dan memperkenalkan tempat serta produk pelancongan di Taiping kepada semua warga Malaysia dan pelancong luar negara," katanya selepas merasmikan majlis pelancaran bas EV MPT di sini hari ini.

Ng berkata bas berkenaan akan melakukan empat kali perjalanan pada Isnin hingga Jumaat, manakala lima kali perjalanan untuk Sabtu dan Ahad melibatkan laluan Jejak Warisan di sekitar Bandar Taping sejauh 11.5 kilometer.

Menurutnya setiap perjalanan mengambil masa satu jam 21 minit dan disediakan pemandu pelancong bagi memberi penerangan lokasi Jejak Warisan.

Bas EV MPT yang mempunyai kapasiti 22 penumpang dan satu penumpang orang kurang upaya (OKU) itu, merupakan inisiatif beberapa syarikat tempatan dan luar negara sejak 2015.

Bas tersebut menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dan disumbangkan oleh kerajaan Jepun melalui Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA).

-- BERNAMA