KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan meneruskan Operasi Ramadan 2023 serentak di seluruh negara, di semua premis makanan termasuk bazar Ramadan pada bulan Ramadan kali ini dengan berpandukan Garis Panduan Pelaksanaan Operasi Ramadan 2023.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata operasi berkenaan, melibatkan pemeriksaan premis serta pensampelan makanan, bertujuan memastikan makanan yang disediakan atau dijual selamat, mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

"Pemeriksaan itu akan juga dijalankan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata aktiviti pemeriksaan giat dijalankan di peringkat sumber meliputi bahan mentah dan tempat penyediaan makanan bagi peniaga-peniaga yang dilesenkan oleh PBT.

"Sebagai persiapan menjelang bulan Ramadan juga, aktiviti pemeriksaan telah dijalankan di premis-premis tumpuan seperti di hotel-hotel yang menyediakan buffet ramadan, di premis pembekal bahan mentah dan juga premis-premis penyediaan ais," katanya.

Dr Noor HIsham berkata kerjasama dengan PBT turut diadakan, termasuk mengadakan taklimat keselamatan makanan kepada pengendali bazar Ramadan, selain memastikan pengendali mendapat suntikan pelalian anti tifoid dan menjalani latihan pengendali makanan.

Beliau berkata kempen kesedaran berkaitan keselamatan kepada orang ramai, pengendali dan pengusaha premis bahan mentah, premis penyediaan makanan, premis pembekal makanan, turut giat dijalankan melalui bahan pendidikan kesihatan, media massa, media elektronik dan media sosial.

Dr Noor Hisham turut menasihatkan masyarakat agar mengamalkan konsep "Sama-sama: Perhati dan Pilih Juadah di Bazar Ramadan", iaitu memilih gerai yang bersih dan mengamalkan pengendalian makanan yang baik.

"Para peniaga dinasihatkan supaya membasuh terlebih dahulu bahan mentah termasuk telur, sebelum digunakan dalam penyediaan makanan dan tidak menyediakan makanan berisiko tinggi untuk basi terlalu awal (contohnya makanan berasaskan santan), daripada waktu untuk dijual.

"Orang ramai juga dinasihatkan agar menggunakan kuasa membeli yang ada pada mereka, dengan membeli makanan di premis yang bersih," katanya.

Pengguna boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri, Pejabat Kesihatan Daerah terdekat atau melalui laman web http://moh.spab.gov.my , jika terdapat sebarang aduan berkaitan keselamatan makanan.

Umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa esok.

-- BERNAMA