Skip to main content

Malaysia

Operasi tren Kulai–Kempas Baru terjejas, kerja pemulihan masih dijalankan

51674736101_TBLOGOKTMB.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR: Penumpang Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang terjejas susulan insiden lori terbabas di laluan Kulai-Kempas Baru, Johor akan dibawa menggunakan bas perantara ke Stesen Kulai sebelum meneruskan perjalanan dengan tren ke destinasi masing-masing. 

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bas perantara disediakan dari Stesen JB Sentral dan Stesen Kempas Baru ke Stesen Kulai bagi membantu perjalanan penumpang terlibat.

"Bagi penumpang yang terjejas dan memilih untuk tidak meneruskan perjalanan, pemulangan tambang penuh akan diberikan. Penumpang boleh mendapatkan bantuan lanjut daripada petugas KTMB di stesen," menurut kenyataan itu.

Tiga perkhidmatan ETS dari JB Sentral terjejas pagi ini, iaitu ETS 9442 bagi laluan JB Sentral-Padang Besar, ETS 9524 (JB Sentral-KL Sentral) dan ETS 9326 (JB Sentral-Butterworth).

Bagi Shuttle Selatan, laluan Pasir Gudang-JB Sentral-Pasir Gudang dan Kempas Baru-JB Sentral-Kempas Baru beroperasi manakala laluan Kulai-Kempas Baru-Kulai tidak beroperasi.

KTMB memaklumkan kerja pemulihan masih dijalankan bagi mengalihkan struktur konkrit (parapet) yang jatuh dan menyentuh Alat Talian Atas (ATA) di kedua-dua landasan.

 

Menurut KTMB, Transmare-Chemie (M) Sdn Bhd, syarikat lori terbabit memaklumkan pada 3 pagi tadi bahawa kren berkapasiti 120 tan yang diperlukan untuk mengalihkan struktur konkrit itu masih belum diperoleh. 

Sekiranya kren berkenaan tersedia, kerja mengangkat dan mengalihkan struktur konkrit dijangka bermula sekitar 10 pagi, namun waktu laluan dapat dibuka semula masih belum dapat ditentukan kerana bergantung kepada kemajuan kerja, pemeriksaan teknikal dan pengesahan keselamatan.

KTMB akan terus menyelaras kerja pemulihan bersama pihak berkaitan dan operasi tren hanya akan dibenarkan selepas laluan serta sistem ATA disahkan selamat untuk digunakan. 

 

Semalam, perkhidmatan Shuttle Selatan dan ETS di laluan Kulai-Kempas mengalami kelewatan selepas sebuah lori membawa cecair mudah terbakar terbabas berhampiran laluan berkenaan sehingga menyebabkan gangguan bekalan elektrik.

-- BERNAMA

 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement