SUNGAI PETANI: Seorang operator kilang maut selepas kenderaan dipandunya terlibat dalam kemalangan apabila bertembung dengan sebuah lori di Jalan Bukit Selambau-Kuala Ketil, di sini, pada Rabu.

Mangsa, Muhammad Nazafee Abdul Jalil, 20, yang berasal dari Taman Desa Kamela, Alor Setar maut selepas mengalami cedera parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian jam 7 malam itu dipercayai berlaku apabila kereta jenis Proton Satria yang dipandu Muhammad Nazafee dari arah Kuala Ketil menghala ke Bukit Selambau hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah lori.

“Impak perlanggaran menyebabkan kereta Proton Satria berpusing beberapa kali sebelum merempuh tiang elektrik yang berada di bahu jalan.

“Pemandu kereta itu maut serta-merta selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan dan mayat telah di hantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.



Bagaimanapun, jelas Zaidy, pemandu lori tersebut mengalami kecederaan ringan.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Zaidy berkata, siasatan polis mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu kereta yang memandu dalam keadaan laju serta cuai sehingga hilang kawalan dan terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan.