Skip to main content

Malaysia

Oppstar, Alphaswift terima akses teknologi Arm perkukuh industri semikonduktor negara

Akmal Perhimpunan KE
Akmal Nasrullah (foto) berkata akses kepada teknologi pengkomputeran Arm membolehkan syarikat tempatan mempercepatkan aktiviti reka bentuk mikrocip dan pembangunan mikroelektronik termaju, termasuk dalam sektor dron. -Foto Astro AWANI
Advertisement

PUTRAJAYA: Kementerian Ekonomi pada Jumaat menyerahkan surat tawaran kepada Oppstar Technology Sdn Bhd dan Alphaswift Industries Sdn Bhd bagi memperoleh akses kepada teknologi Arm Compute Subsystem (CSS) dan program Arm Flexible Access (AFA).

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada Kerjasama Strategik di antara Kerajaan Malaysia dan penyedia teknologi semikonduktor global, Arm Limited, yang bertujuan memperkukuh ekosistem reka bentuk litar bersepadu (IC) serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata akses kepada teknologi pengkomputeran Arm membolehkan syarikat tempatan mempercepatkan aktiviti reka bentuk mikrocip dan pembangunan mikroelektronik termaju, termasuk dalam sektor dron.

"Setakat ini, sebanyak lapan akses teknologi Arm melibatkan empat Arm CSS dan empat token Arm Flexible Access telah ditawarkan kepada lima syarikat tempatan yang memenuhi kriteria teknikal ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi dan Majlis Penyerahan Surat Tawaran kepada Entiti Diluluskan di bawah Kerjasama Strategik antara Kerajaan Malaysia dan Arm Limited bagi industri semikonduktor, di sini, pada Jumaat.

Mengulas mengenai pembangunan bakat, Akmal berkata seramai 1,530 peserta telah mengikuti program Arm On-Demand Training setakat ini daripada sasaran keseluruhan 10,000 bakat dalam tempoh empat tahun.

Menurut beliau, sasaran ditetapkan agar sekurang-kurangnya 5,000 bakat berdaftar menjelang penghujung 2027 bagi memastikan momentum latihan berjalan seiring dengan pemberian token teknologi kepada syarikat tempatan.

"Kita juga bersetuju supaya peserta yang menerima pendedahan latihan Arm diberi keutamaan menjalani latihan industri di syarikat yang menerima token ini.

"Kita tidak mahu usaha ini bergerak secara silo, apabila satu pihak menyediakan latihan manakala pihak lain menerima teknologi tanpa penyelarasan yang berkesan," katanya.

Beliau berkata, usaha menghubungkan syarikat penerima teknologi dengan program pembangunan bakat amat penting bagi mengelakkan masalah kekurangan tenaga kerja mahir dalam industri semikonduktor tempatan.

 

Must Watch Video

Advertisement