Skip to main content

Malaysia

Ops Bangkit: 191 notis kesalahan dikeluarkan kepada individu buang sampah kecil

PUTRAJAYA, 31 Ogos - Aset helikopter, termasuk EC725 dan AW139 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), terbang dalam formasi bersama-sama aset Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Polis Diraja Malaysia sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, hari ini. - fotoBERNAMA HAK CIPTA TERPELIHARA  Photographed By: MOHD FAIZOL AZIZ
Sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026, seramai 234 anggota penguat kuasa SWCorp digerakkan untuk melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan di 56 lokasi di tujuh negeri yang menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672). - Gambar fail/Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: Sebanyak 191 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) dikeluarkan terhadap individu dikesan membuang sampah kecil di tempat awam sepanjang pelaksanaan Ops Bangkit sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026.

Operasi bersepadu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) itu dilaksanakan selama lapan hari, dari 24 hingga 31 Ogos lalu.

Sepanjang tempoh berkenaan, seramai 234 anggota penguat kuasa SWCorp digerakkan untuk melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan di 56 lokasi di tujuh negeri yang menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, tindakan penguatkuasaan bukan semata-mata bertujuan menghukum, sebaliknya mendidik masyarakat supaya lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan ruang awam.

"Pengeluaran NPK di bawah Seksyen 77A Akta 672 bukan sekadar peringatan, sebaliknya merupakan permulaan kepada proses tindakan undang-undang terhadap individu yang melakukan kesalahan berkenaan.

"Setiap kes akan disiasat SWCorp sebelum kertas siasatan lengkap dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan izin pendakwaan.

"Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 dan sebagai hukuman tambahan, menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) sehingga 12 jam," jelas Kor Ming, dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Tambah beliau, PKM merupakan pendekatan korektif dan mendidik bagi memberi kesedaran secara langsung kepada pesalah mengenai kesan perbuatan mereka terhadap kebersihan persekitaran, di samping membentuk rasa tanggungjawab dan mencegah pengulangan kesalahan.

Dalam pada itu, KPKT berkata, tahap kebersihan di lokasi Sambutan Ambang Hari Kebangsaan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2026 berada pada tahap baik, hasil pemantauan serta kerjasama orang ramai.

Kementerian turut menyeru masyarakat menjadikan amalan menjaga kebersihan sebagai sebahagian daripada budaya dan identiti nasional.

Must Watch Video

Advertisement