JOHOR BAHRU: Sebanyak 968 daripada 1,070 kenderaan yang diperiksa dalam Operasi Khas Rentas Sempadan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)  Johor, dikenakan tindakan.

Daripada jumlah itu 384 membabitkan kesalahan yang dilakukan pemandu kenderaan perdagangan.

Pengarah JPJ Johor, Azmil Zainal Adnan berkata operasi tiga hari yang julung kali diadakan itu membabitkan tiga negeri di selatan Semenanjung iaitu Johor, Negeri Sembilan dan Melaka dengan memfokuskan kenderaan perdagangan.

Katanya kesalahan membawa lebihan muatan dan muatan merbahaya dikenal pasti kesalahan paling tinggi dilakukan pemandu kenderaan barangan dengan 126 kes.

Selain itu, 231 kes kesalahan teknikal dan 27 kes membabitkan kesalahan memandu di lorong kanan.

"Fokus kedua penguatkuasaan adalah kesalahan memandu di lorong sebelah kanan secara berterusan bagi kenderaan perdagangan. Memandu kenderaan berat di lorong kanan secara berterusan amat membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

"Ia juga boleh menyebabkan salah satu punca kemalangan maut. Operasi ini telah dilaksanakan di sekitar Johor Bahru termasuk di sepanjang Lebuhraya Pasir Gudang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Ops Khas Rentas Sempadan di Tol Skudai Johor Bahru.

Dalam operasi itu, sebanyak 1,294 notis turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Jelas Azmil lagi, operasi yang diadakan ini bukan bertujuan menyaman semata-mata tetapi bagi memastikan pemandu mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan sebanyak 37 kenderaan yang dipandu warga asing turut disita dengan 37 pemandu warga asing diperiksa atas pelbagai kesalahan.

Ianya melibatkan 19 warga Myanmar, lapan Pakistan, enam Bangladesh dan empat Nepal.

Antara kesalahan mereka ialah tidak mempunyai lesen memandu yang sah serta menyalahgunakan lesen kenderaan motor untuk tujuan perniagaan.