KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan sindiket yang dilumpuhkan dalam Op Samba baru-baru ini menggunakan modus operandi 'forwarding agent' yang bertindak sebagai orang tengah bagi membayar rasuah kepada penguat kuasa.

Menurut sumber, anggota pegawai kastam yang bertugas dalam pemeriksaan kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) diberi sogokan sebagai balasan melicinkan proses penyeludupan tanpa melalui pengisytiharan serta pemeriksaan yang sepatutnya.

Dakwa sumber itu lagi, sindiket tersebut dipercayai melakukan perbuatan penyeludupan dan merasuah pegawai agensi penguatkuasa itu sejak 2017 hingga 2024.

"Hasil siasatan menunjukkan pegawai-pegawai terbabit telah menerima rasuah kira-kira RM4.7 juta daripada sindiket melalui “akaun keldai” untuk mengelak transaksi kewangan itu dikesan," dakwanya.

Sumber itu menambah, sindiket juga dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan akaun perniagaan 'syarikat hantu', pengurup wang, kegiatan judi atas talian serta melalui syarikat pinjaman wang berlesen.

Didapati sebanyak 19 'syarikat hantu' ditubuhkan dengan menjalankan pelbagai perniagaan aktiviti pengubahan wang haram bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Sementara itu, tujuh lagi anggota dan pegawai telah dicadangkan kepada agensi berkenaan untuk dikenakan tindakan tatatertib, menurut sumber.

Pertuduhan sedang dijalankan sepanjang Mei hingga 6 Jun depan.

Pada 29 Mac lalu, SPRM mendedahkan jumlah ketirisan akibat kegiatan sindiket penyeludupan babitkan beberapa anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia di KLIA, Sepang mencecah RM2 bilion bagi tempoh tiga tahun lepas.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini, seramai 34 anggota penguat kuasa dan 27 individu serta pemilik syarikat ditahan menerusi Op Samba 2.0 kerana melindungi dan memudahkan aktiviti penyeludupan sindiket itu.

Op Samba 2.0 merupakan operasi diketuai SPRM bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memerangi aktiviti rasuah pegawai agensi penguatkuasaan yang melindungi aktiviti penyeludupan sejak 2017 hingga kini.