KUALA LUMPUR: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan mempergiatkan operasi pemantauan 24 jam di lembangan sungai utama bagi memastikan insiden pencemaran tidak menjejaskan Loji Rawatan Air (LRA).

Operasi tanpa henti dilaksanakan Skuad Pantas LUAS bagi memastikan sifar gangguan bekalan air pada musim perayaan Aidilfitri dan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berkuat kuasa.

"Operasi dijalankan di kawasan-kawasan sensitif sumber air di Lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang, termasuk empangan-empangan negeri, bagi memastikan tiada berlaku sebarang insiden pencerobohan.

"LUAS turut melaksanakan pemantauan statik (pensampelan in-situ) di kawasan strategik yang dikenal pasti berisiko dan pensampelan berkala seperti kajian kebersihan di lembangan sungai juga dilaksanakan bagi memantau status kualiti air.

"LUAS juga siap siaga melalui Operasi Pengepaman Air Kolam (OPAK) sumber-sumber air alternatif seperti HORAS 600 dan 'off-river storage' (ORS) di Bestari Jaya yang akan menyalurkan air sebagai sumber tambahan bagi membantu mempercepatkan langkah-langkah kawalan dan mitigasi sekiranya berlaku insiden yang tidak diingini," katanya.

LUAS berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini sempena Ops Sumber Air Aidilfitri.

Dalam perkembangan sama, LUAS memaklumkan telah berjaya mencegah 24 insiden pencemaran yang berpotensi menjejaskan operasi LRA sejak Januari lalu.

Kesemua pencemaran itu dikategorikan sebagai Kod Kuning dan insiden yang berpotensi menyebabkan henti tugas LRA.

"Sehingga kini, tiada kes pencemaran yang menyebabkan henti tugas LRA (Kod Merah) direkodkan," katanya.

Mengulas lanjut, LUAS menyeru orang ramai melaporkan segera melalui talian Whatsapp +6019 264 7904 atau emel [email protected] sebarang aktiviti mencurigakan yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air.