Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah menggunakan kereta dan motosikal peronda dilengkapi 'dashboard camera' dan 'GoPro' untuk merakam kesalahan lalu lintas sepanjang pelaksanaan Operasi Tahun Baru Cina di negeri ini.

Pengarahnya, Sadim Abdul berkata penggunaan teknologi kamera itu bagi memastikan pemandu kenderaan lebih berhati-hati mematuhi peraturan ketika berada di jalan raya dan dapat mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Katanya anggota penguatkuasa JPJ membuat rondaan jam 8 pagi hingga 12 malam iaitu 16 jam sehari dan dipertingkatkan kepada 24 jam pada dua hari musim perayaan Tahun Baru Cina.

"Kali ini kita tidak berkompromi dengan pesalah lalu lintas kerana kita sudah mengingatkan pemilik kenderaan mematuhi setiap peraturan lalu lintas," katanya ketika menyertai Operasi Tahun Baru Cina di Terminal Bas Inanam pada Jumaat.

Beliau berkata JPJ Sabah juga membekukan semua cuti pegawai dan anggota di Bahagian Penguatkuasaan sepanjang operasi tersebut yang dilaksanakan sejak Sabtu lepas hingga 12 Feb ini.

Sadim berkata JPJ Sabah juga membuka Bilik Kawalan untuk memantau pelaksanaan operasi itu dan menerima aduan orang ramai yang boleh disalurkan menerusi email dialamat ([email protected]) dan WhatsApp di nombor 011-5115252.

Dalam pada itu, sejak operasi itu dilaksanakan Sabtu lepas hingga hari ini, JPJ Sabah telah mengeluarkan 792 saman dan 414 notis kepada pemandu atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

-- BERNAMA