SHAH ALAM: Seorang lelaki yang berkeliaran bogel bagai 'orang minyak' sebelum melakukan jenayah pecah rumah di sini, pada Jumaat giat diburu polis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu berlaku di sebuah rumah di Seksyen 20 ketika mangsa seorang wanita sedang tidur bersama anak perempuannya di ruang tamu.

Menurutnya, mangsa tersedar apabila terdapat cahaya silau mengenai mata mangsa yang sedang tidur menyebabkan mangsa terjaga dan sedar akan kehadiran suspek.

"Jeritan mangsa menyebabkan suspek segera berlari keluar dari rumah tersebut.

"Suami mangsa yang tersedar bergegas lari keluar dari dalam bilik tidur menuju kepada isterinya, namun mendapati suspek sudah tiada.

"Mangsa mengalami kerugian apabila kehilangan wang tunai RM1,600 hasil wang perniagaan dilarikan suspek," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambah Mohd Iqbal, pihaknya juga mengesan satu video yang tular memaparkan suspek yang memakai pelitup muka dan berbogel berkeliaran di kawasan perumahan Seksyen 19.

Katanya, usaha untuk memburu suspek giat dijalankan.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Mohd Shafarulrazi di talian 010-8889910 atau 03-55202222," katanya.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

BACA: 'Orang minyak' berbogel berkeliaran dalam rumah dirakam CCTV

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.