Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) DCP Datuk Abdul Rashid Harun memberi amaran kepada masyarakat Pala'u supaya tidak membiarkan diri mereka dieksploitasi oleh pihak tertentu untuk melakukan jenayah, khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Beliau berkata masyarakat Pala'u atau Bajau Laut tidak terkecuali daripada tindakan undang-undang jika didapati bersalah melanggar sebarang undang-undang negara.

Abdul Rashid berkata status mereka sebagai "orang Pala'u" yang hanya tinggal di dalam bot tidak boleh dijadikan alasan untuk penguatkuasaan undang-undang dikecualikan terhadap mereka.

"Oleh itu, saya menasihatkan mereka (masyarakat Pala'u) agar tidak biarkan diri mereka dieksploitasi atau bersekongkol dengan pihak musuh terutama penjenayah rentas sempadan.

"Saya ingin menegaskan tindakan keras akan diambil terhadap sesiapa sahaja termasuk orang Pala'u yang melanggar undang-undang negara ini...tiada golongan yang terkecuali," katanya ketika menyampaikan taklimat keselamatan sempena Majlis Pertemuaan ESSCom bersama Pemimpin Masyarakat Pala'u dan pegawai-pegawai kerajaan daerah Semporna di bangunan pejabat daerah itu, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif ESSCom Ruji Ubi, Pegawai Daerah Semporna Dr Chacho Bulah, Timbalan Ketua Bahagian Perisikan ESSCom Brig Jen Dato' Rahim Mohamad dan Timbalan Ketua Staf Pasukan Polis Marin ESSCom ACP Wan Shazali Wan Abd Rahman.

Abdul Rashid berkata ESSCom turut memandang serius dakwaan penglibatan segelintir masyarakat Pala’u dalam aktiviti tidak sihat termasuk penyeludupan barang-barang terlarang dan membawa masuk pendatang tanpa izin (PATI) yang boleh mengancam keselamatan negara.

"Berdasarkan risikan, terdapat juga orang Pala'u yang menjadi mata dan telinga (tali barut) kepada pihak musuh untuk memantau pergerakan pasukan keselamatan kita khususnya di pulau-pulau sekitar perairan Semporna.

Ini adalah sesuatu yang serius dan pihak ESSCom sedang memantau perkara ini," katanya.

Berikutan itu, Abdul Rashid berkata ESSCom telah mencadangkan agar beberapa pulau di Semporna dijadikan kawasan larangan dalam usaha untuk memantapkan keberkesanan kawalan keselamatan.

Mengenai Operasi Bersepadu Khas memburu PATI yang diterajui ESSCom, beliau berkata operasi itu akan diteruskan sehingga ESSZone bebas daripada PATI.

"Operasi ini kini giat dilaksanakan di daerah Semporna, Lahad Datu, Tawau dan tidak lama lagi di Sandakan," katanya sambil menambah operasi berkenaan dilancarkan susulan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Mengenai Isu PATI di Sabah.

Sementara itu, Ruji berkata terdapat elemen tertentu kebelakangan ini yang mengaitkan segelintir masyarakat Pala'u dengan aktiviti jenayah yang boleh mengancam keselamatan negara.

Sebab itu, pihak ESSCom mengadakan pertemuan (engagement) ini bagi membantu mengurus, mengatur dan membetulkan keadaan daripada aspek penempatan dan keselamatan," katanya.

Dalam hal ini, Ruji menyeru semua pihak terutama pemimpin masyarakat Pala'u supaya bekerjasama dengan ESSCom untuk menangani masalah itu.

Masyarakat Pala'au ini dikenali sebagai “Sea Gypsies” kerana hidup secara nomad di lautan, dan majoriti mereka masih menetap di perahu dan mengamalkan budaya hidup sebagai pelaut.

Majoriti masyarakat itu kini dikesan menetap di perairan sekitar Semporna, Kunak, Lahad Datu dan Sandakan.