Beberapa NGO telah menyeru rakyat Malaysia untuk tampil untuk membantu dalam usaha meyaman syarikat Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd yang baru-baru ini menarik balik dua produk yang dikesan mengandungi DNA babi iaitu porcine.

Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan SUKAGUAM hari ini berkata pihak mereka akan membantu orang ramai secara percuma untuk menuntut ganti rugi sebanyak RM100juta daripada syarikat coklat tersebut di makhamah.

"Bagi kalangan masyarakat Islam di Malaysia ia merupakan satu penghinaan yang amat dahsyat sekali, satu penipuan yang sangat jahat dan harus dibendung supaya menjadi satu pengajaran kepada mana-mana syarikat yang sengaja mahu menghancurkan umat Islam secara halus dari segi pemakanan halal," kata presiden JMM Azwanddin Hamzah hari ini.

"Syarikat itu tidak sepatutnya mengeluarkan produk tersebut di pasaran Malaysia apatah lagi di dalam syarikat tersebut terdiri dari orang Islam dan juga sengaja menganiaya pekerja Islam di dalam organisasi mereka," katanya.

Sementara itu, peguam untuk kedua-dua NGO itu berkata tindakan untuk menyaman Cadbury mungkin akan menggunakan Akta Perlindungan Pengguna dan saman atas kecuaian syarikat tersebut.

Pada masa kini, sudah ada 50 orang yang telah tampil untuk memberi keterangan atas pembelian coklat Cadbury Dairy Milk Hazelnut dengan nombor kelompok 200813M01H I2 tarikh luput November 13, 2014; dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond dengan nombor kelompok 221013N01R I1 tarikh luput Januari 15, 2015.

"Kamu perlu hormati majoriti, iaitu Melayu Muslim di negara ini. Ini langsung tiada sensitiviti kaum. Kalau tidak halal, cakap saja. Kenapa mahu tipu. Dah berapa ramai bapa-bapa yang sudah bagi anak mereka makan, termasuk saya," kata Azwanddin.

Azwanddin berkata jikalau Cadbury tidak dapat membayar ganti rugi yang sesuai, ia patut tutup kedai dan keluar dari Malaysia.

Azwanddin juga berkata pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM) serta Kementerian Kesihatan juga perlu bertanggungjawab atas kontroversi ini.

"Saya hairan bagaimana boleh berlaku. Saya tidak mahu menuduh tetapi kemungkinan ada ketirisan berlaku oleh kedua-dua agensi ini, ataupun melibatkan salahguna kuasa. Ini perlu disiasat," katanya.

Menurut Azwanddin, JMM juga telah menerima maklumat bahawa terdapat sekurang-kurangnya 60 syarikat lain yang disyaki juga membuat perkara yang sama. Senarai itu telah diserahkan kepada pihak berkuasa.