MALAYSIA
Orang ramai diminta hormati proses keadilan - Peguam Negara

Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berucap pada Majlis Peluncuran Sekolah Angkat MADANI di Sekolah Kebangsaan Long Gafar hari ini. - Foto Bernama
KOTA BHARU: Jabatan Peguam Negara (AGC) menasihatkan orang ramai supaya menghormati proses keadilan yang sedang dijalankan, termasuk dalam prosiding inkues Zara Qairina Mahathir.
Ringkasan AI
- Jabatan Peguam Negara menasihatkan orang ramai menghormati prosiding inkues dan memberi amaran tindakan tegas terhadap ugutan atau gangguan terhadap saksi.
- Dr Jessie Hiu, saksi penting inkues, menerima ugutan selepas memberi keterangan; seorang lelaki berusia 61 tahun ditahan polis di Semporna.
- Peguam Negara menegaskan siasatan kes ugutan akan dipercepatkan demi memastikan keadilan kepada semua pihak termasuk keluarga mangsa.
"AGC memandang serius ugutan yang diterima Dr Jessie Hiu kerana keterangannya amat penting bagi membantu Mahkamah Koroner mencapai keputusan yang adil, sekali gus memastikan keadilan untuk semua pihak.
"Sebarang ugutan, perbuatan negatif atau tingkah laku yang boleh mengancam keselamatan saksi tidak boleh dipandang ringan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Sekolah Angkat MADANI di Sekolah Kebangsaan Long Gafar, di sini, hari ini.
Terdahulu, polis menahan seorang lelaki berusia 61 tahun di Semporna kira-kira 7 pagi tadi di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna kerana disyaki mengugut pakar patologi yang terlibat dalam inkues berkenaan.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata tangkapan itu dibuat susulan laporan polis yang dikemukakan Dr Jessie berhubung ugutan diterimanya selepas tampil memberi keterangan di Mahkamah Koroner dalam prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Zara Qairina.
Mengulas lanjut, Mohd Dusuki berkata siasatan kes berkenaan perlu dipercepatkan dan sekiranya terbukti wujud elemen ugutan seperti disyaki, tindakan tegas akan diambil.
"Kita faham proses ini melibatkan ramai saksi, dokumen dan pelbagai aspek lain. Justeru, kesabaran diperlukan kerana inkues ini dilaksanakan untuk memastikan keadilan kepada semua pihak termasuk mangsa dan keluarga mangsa," katanya.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai selepas dimasukkan ke hospital sehari sebelumnya, setelah ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi.
Pada majlis itu, Mohd Dusuki turut menyalurkan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi naik taraf sekolah tersebut untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, demi menyokong kecemerlangan guru dan murid.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami